Am 08/08/2026 12:20 AM

Kerajaan Selangor Komited Perkasa Usahawan, Plats Himpun Lebih 100,000 Penyertaan - Amirudin

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Selangor Komited Perkasa Usahawan, Plats Himpun Lebih 100,000 Penyertaan - Amirudin
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan Anugerah Utama Usahawan Mikro kepada pemilik Minah Satay Norminah Syafrial (tiga, kanan) pada Majlis Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2026 di Sunway Resort Hotel, hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PETALING JAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor komited untuk terus memperkasakan usahawan tempatan, bagi memastikan mereka mampu berkembang secara mampan dan berdaya saing seiring dengan perubahan landskap ekonomi digital. 

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pemerkasaan golongan itu menjadi keutamaan pentadbiran beliau, memandangkan usahawan mikro merupakan antara pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri akan terus memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi pendigitalan, akses pembiayaan, pembangunan kapasiti serta jaringan strategik.

“Ini bagi memastikan lebih ramai usahawan tempatan mampu berkembang secara mampan dan bersaing, bukan sahaja pada peringkat nasional, malah ke tahap antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Malam Anugerah Platform Selangor 2026 (MAPS 2026) di sini, malam ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Najwan Halimi dan Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Amirudin berkata komitmen tersebut dibuktikan menerusi inisiatif Platform Selangor (PLATS), yang kini berjaya menghimpunkan lebih 100,000 usahawan berdaftar di seluruh negeri, dalam membina ekosistem keusahawanan yang inklusif dan mampan. 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) Datuk Saipolyazan M Yusop berkata MAPS 2026, dianjurkan sebagai simbol penghargaan terhadap ketabahan, daya tahan dan semangat inovasi usahawan. 

Beliau berkata sebagai agensi pelaburan strategik Kerajaan Negeri Selangor, MBI Selangor melalui Yayasan MBI komited untuk terus memperluas impak pembangunan sosioekonomi, menerusi pelbagai program dan inisiatif keusahawanan yang inklusif.

“Dengan sokongan rakan-rakan strategik, kami akan terus memperkasakan usahawan tempatan agar lebih berdaya tahan, berinovasi dan mampu bersaing dalam landskap ekonomi yang semakin dinamik,” katanya.

Kemuncak majlis menyaksikan Pengasas Minah Satay iaitu Norminah Syafrial, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama Usahawan Mikro Negeri Selangor, sekali gus membawa pulang trofi serta ganjaran keseluruhan bernilai RM20,000, merangkumi RM5,000 wang tunai dan RM15,000 Dana Usahawan MADANI Selangor (DUMS). 

Sebanyak 23 pengiktirafan disampaikan pada majlis itu, merangkumi sembilan kategori anugerah termasuk lima Anugerah Khas MAPS 2026, dengan hadiah bernilai RM18,000 setiap satu (wang tunai RM3,000 dan DUMS RM15,000), Anugerah Cemerlang U-PLATS Halal, Anugerah Cemerlang U-PLATS Digital PBT, serta Anugerah Usahawan Cemerlang PLATS Biaya.

MAPS 2026 anjuran Yayasan MBI, merupakan hasil kerjasama strategik antara Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, MBI Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

-- BERNAMA