Am 07/08/2026 11:56 PM

Sebulan Untuk Pelajar KV Setapak Hasilkan Inovasi Dron Bagi Keselamatan Sekolah - Fadhlina

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sebulan Untuk Pelajar KV Setapak Hasilkan Inovasi Dron Bagi Keselamatan Sekolah - Fadhlina
kredit: FB Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Pelajar Kolej Vokasional (KV) Setapak hari ini menerima cabaran besar apabila diminta menginovasi penggunaan teknologi dron bagi memperkukuh aspek keselamatan di persekitaran sekolah. 

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pelajar terbabit diberi tempoh sebulan untuk meneliti serta mengenal pasti kaedah terbaik bagi mengaplikasikan teknologi berkenaan sebelum membentangkan hasil idea tersebut kepadanya.

"Dalam masa sebulan, saya mahu anak-anak bentangkan kepada saya bagaimana teknologi dron boleh digunakan untuk membantu menjaga keselamatan sekolah," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Fadhlina memberikan cadangan berkenaan ketika menghadiri program kolaborasi antara Seoul Metropolitan Office of Education dan Kolej Vokasional Setapak, yang turut dihadiri Duta Besar Republik Korea ke Malaysia Yeo Seung-bae. 

Beliau berkata program berkenaan merupakan platform berharga bagi pelajar untuk meneroka bidang robotik dan teknologi dron menerusi perkongsian kepakaran serta pengalaman luas dari Korea Selatan.

Menceritakan pengalamannya melihat demonstrasi pelajar, Fadhlina melahirkan rasa bangga melihat kesungguhan mereka mengendalikan aset teknologi tersebut meskipun berdepan pelbagai percubaan.

"Hari ini saya melihat anak-anak kita menerbangkan dron, mengendalikan robot dan bermain dengan teknologi. Ada yang mencuba, ada yang tersilap. Kemudian cuba lagi, di situlah sebenarnya pembelajaran berlaku," katanya. 

Fadhlina berkata teknologi robotik, dron dan kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sekadar cerita tentang masa hadapan, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada perubahan dalam dunia pekerjaan ketika ini. 

Sehubungan itu katanya, sistem pendidikan harus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa. 

"Sebab itu, saya beri mereka cabaran tadi. Saya mahu mereka bukan sekadar tahu menerbangkan dron tetapi mula berfikir bagaimana teknologi yang dipelajari dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah sebenar di sekeliling mereka," menurut hantaran itu. 

-- BERNAMA