SIBU, 7 Ogos (Bernama) -- Balu Koperal Chiu Teck Siong, Tan Wei Wei, 39, tidak menyangka suaminya akan “pulang” ke rumah lebih awal dari tarikh mendiang sepatutnya memulakan cuti pada 27 Ogos depan.
Kepulangan itu, bagaimanapun bukan disambut dengan gelak tawa lima anak perempuan mereka yang berusia antara empat hingga 11 tahun, sebaliknya dalam suasana pilu dengan tangisan mengiringi ketibaan keranda ayah mereka.
Tan berkata suaminya sudah lama berhasrat untuk berpindah bertugas ke Sibu bagi membolehkan mereka sekeluarga tinggal bersama.
“Memang sudah lama dia (Chiu) hendak berpindah balik ke sini (Sibu) tetapi belum berjaya. Tidak sangka dia balik macam ini,” katanya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini lewat petang ini.
Tan berkata kali terakhir mendiang meluangkan masa bersama anak-anak ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lepas.
“Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka (anak-anak). Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji saya bukanlah besar. Saya berharap ada pihak yang sudi membantu kami sekeluarga,” katanya yang merupakan pekerja swasta.
Chiu, 40, antara tiga anggota polis yang maut akibat renjatan elektrik di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, petang semalam.
Terdahulu, jasad Chiu diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang.
Van membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall.
Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park di sini untuk upacara pembakaran.
Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang.
Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26.
-- BERNAMA