PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan konflik geopolitik, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata ekonomi negara berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2024 dan mengekalkan kadar pertumbuhan yang sama pada tahun lepas, manakala Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) pada suku pertama tahun ini meningkat kepada 5.4 peratus.
“Kalau kita tengok dari segi keseluruhannya, ekonomi Malaysia kuat. Tahun 2024, KDNK catat pertumbuhan 5.2 peratus. Tahun 2025, 5.2 peratus. Tahun ini, suku pertama 5.4 peratus dan kita unjurkan suku kedua pada 5.8 peratus.
“Bermakna tahun ini kita dah 5.6 peratus. Ini dalam persekitaran yang tak menentu. Tahun lepas kita berdepan perang perdagangan dan tahun ini kita berdepan isu di Asia Barat tapi Malaysia masih berdaya tahan, masih berkembang, masih bergerak untuk menjadi satu negara yang maju,” katanya pada sidang media bersempena dengan penerbitan Laporan Tahunan GEAR-uP 2026, di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata prestasi itu menunjukkan bahawa pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI berada di landasan yang tepat, dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kini mula memberi impak kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata program GEAR-uP yang diterajui Kementerian Kewangan sejak 2024 merupakan antara inisiatif kerajaan untuk terus merancakkan ekonomi negara menerusi pelaburan langsung domestik berjumlah RM120 bilion bagi tempoh 2024 hingga 2028.
Katanya, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat dalam pelaksanaan program GEAR-uP terus menjadi pemangkin kepada industri dalam negara untuk berkembang maju.
Beliau berkata GLIC menolong industri dalam negara untuk mendapatkan bakat yang boleh digunakan dengan baik serta menarik pelabur dan membawa pengetahuan untuk membantu negara berkembang.
“Inilah usaha yang kita nak, kerana kalau kita nak cari duit, wang itu boleh kita dapat tapi tanpa pendekatan yang lebih mantap, tanpa pendekatan yang baik, usaha kita mungkin setakat membawa dana ke dalam negara.
“(Apa) yang penting kita nak lihat ialah apabila dana itu digunakan, rakyat mendapat limpahan yang dihadirkan, Malaysia dapat berkembang menjadi negara yang lebih maju di masa depan,” katanya.
Amir Hamzah berkata beliau yakin negara berada pada landasan yang betul untuk mencapai aspirasi pembangunan jangka panjang dengan kerjasama semua pihak dalam merealisasikan agenda Ekonomi MADANI.
"Saya berpuas hati dengan apa yang saya lihat. Kita berada di landasan yang betul dan Insya-Allah negara akan menjadi lebih mantap pada masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA