Am 07/08/2026 06:16 PM

Polis Rampas Rokok, Minuman Keras Disyaki Diseludup Bernilai Lebih RM60,000

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis Rampas Rokok, Minuman Keras Disyaki Diseludup Bernilai Lebih RM60,000
Kredit: PDRM

IPOH, 7 Ogos (Bernama) -- Polis merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras disyaki diseludup bernilai RM64,811.80 serta menahan empat individu dalam tiga serbuan berasingan menerusi Ops Kontraban Mega di daerah Pengkalan Hulu dan Gerik semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah dengan kerjasama Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam IPD Pengkalan Hulu dan IPD Gerik itu melibatkan penahanan dua lelaki dan dua wanita tempatan.

Beliau berkata serbuan pertama di sebuah premis perniagaan di Jalan Taufil menemukan minuman keras bernilai RM3,917 dan rokok bernilai RM28,200 yang disembunyikan di bawah rak barangan runcit dengan dua wanita tempatan berusia 57 dan 44 tahun ditahan.

“Serbuan kedua ketika pemeriksaan di stor premis perniagaan di Jalan Iskandar membawa kepada penahanan pemilik premis, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun serta rampasan membabitkan minuman keras dan rokok dengan jumlah keseluruhan RM32,649.80,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, operasi itu turut berjaya menahan sebuah kereta Toyota Vios berwarna perak dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Padang Kunyit dan hasil pemeriksaan menemukan 100 karton rokok tidak bercukai dengan pemandu lelaki berusia 39 tahun ditahan dan kenderaan dirampas.

Beliau berkata kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, barangan rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis.

-- BERNAMA