KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) – Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 Dewan Negara yang ditangguhkan hari ini, menyaksikan dua rang undang-undang (RUU) baharu diluluskan selain mengetengahkan pelbagai langkah bagi memperkukuh tadbir urus negara, kedudukan fiskal, daya saing ekonomi, keterjaminan tenaga selain usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi.
Persidangan selama 10 hari bermula 20 Julai lepas itu meluluskan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 dan Rang Undang-Undang Statistik 2026, masing-masing bertujuan memperkukuh disiplin pengeluaran daripada KWAN melalui tadbir urus lebih jelas serta mewujudkan kerangka perundangan statistik lebih moden dan komprehensif.
RUU KWAN telah dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong manakala RUU Statistik dibentangkan oleh Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Pada hari pertama persidangan, kerajaan memberi jaminan akan mengambil langkah bersesuaian bagi melindungi kebajikan rakyat dan memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan susulan konflik geopolitik di Asia Barat, termasuk melalui usaha menjamin bekalan, mengekang kenaikan harga, menyokong industri serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
Turut menjadi tumpuan adalah penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil selepas dana persaraan itu merekodkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, di samping mengakui pengalaman pelaburan dalam eFishery yang merupakan kes penipuan korporat terancang sebagai pengajaran penting dalam membuat keputusan pelaburan pada masa depan.
Persidangan itu turut dimaklumkan bahawa Pos Malaysia akan meneruskan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugian melalui rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat selain kerajaan meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme pembiayaan jangka panjang.
Seterusnya pada 23 Julai, Dewan Negara diberi penjelasan mengenai langkah kerajaan memperkukuh keterjaminan tenaga negara, termasuk penilaian terhadap keperluan mewujudkan stok simpanan strategik petroleum dengan mengambil kira implikasi fiskal, keperluan operasi, struktur tadbir urus serta amalan terbaik negara lain.
Kementerian Ekonomi memaklumkan komitmen dan jaminan perjanjian bekalan bahan api jangka panjang (petrol, diesel, minyak mentah dan gas) bagi tempoh 20 tahun yang dicapai bersama Rusia baru-baru ini adalah selaras, saling melengkapi dan tidak bercanggah dengan sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Kerajaan turut memaklumkan pelaburan Jepun yang diluluskan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) bagi tempoh 2021 hingga 2025 berjumlah RM10.5 bilion, melibatkan 46 projek yang dijangka mewujudkan sebanyak 9,009 peluang pekerjaan, sekali gus memperkukuh pembangunan industri berteknologi tinggi negara.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah pada 27 Julai lepas memaklumkan Dewan Negara bahawa Malaysia di landasan tepat untuk mencapai sasaran muncul dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dunia menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), disokong oleh peningkatan kedudukan negara dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026.
Pada hari sama, kerajaan memaklumkan Bank Negara Malaysia akan melaksanakan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi (PMF) baharu bagi Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) mulai 1 Julai 2027 bagi memastikan penilaian lebih menyeluruh terhadap pencapaian mandat pembangunan, impak pembangunan, tadbir urus dan kecekapan operasi institusi berkenaan.
Aspek berkaitan kenderaan elektrik (EV) turut disentuh apabila Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan pembangunan ekosistem EV negara akan terus dipacu melalui penyertaan sektor swasta tanpa mekanisme kawalan harga bagi perkhidmatan pengecasan awam dengan 6,416 unit pengecas EV berkenaan awam telah dipasang di seluruh negara setakat 31 Mei 2026.
Selain itu, isu pembaharuan fiskal juga diketengahkan apabila kerajaan melalui Kementerian Kewangan memaklumkan defisit fiskal Persekutuan terus mencatat penyusutan bagi lima tahun berturut-turut hasil pelaksanaan pembaharuan ekonomi dan fiskal, di samping mengekalkan kadar hutang dalam had statutori yang ditetapkan.
Liew memaklumkan langkah kawalan perbelanjaan yang dilaksanakan pada separuh pertama tahun ini menghasilkan sekatan perbelanjaan hampir RM5 bilion tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kritikal kepada rakyat, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan awam.
Pada hari terakhir persidangan hari ini selepas Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 dan Rang Undang-Undang Statistik 2026 diluluskan, Yang Dipertua Dewan Negara telah mengumumkan penangguhan mesyuarat berkenaan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
-- BERNAMA