MADRID, 3 Ogos (Bernama-dpa) -- Penyebaran maklumat palsu di media sosial dan kegiatan penyeludupan manusia ialah punca kemasukan ribuan pendatang ke wilayah enklaf Sepanyol, Ceuta, menurut kerajaan Maghribi, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Kementerian Dalam Negeri Maghribi menyatakan pergerakan masuk itu didorong oleh maklumat palsu di media sosial, penyeludupan manusia, serta salah tafsir terhadap keputusan mahkamah Sepanyol yang menyebabkan pendatang percaya mereka boleh memasuki Eropah tanpa dihantar pulang serta-merta.
Anggaran rasmi menunjukkan sejumlah 50,000 hingga 60,000 pendatang telah memasuki Ceuta dari Maghribi menjelang Jumaat dan tiba di wilayah yang mempunyai populasi kira-kira 85,000 orang itu dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Kementerian Maghribi menganggarkan jumlah itu sekitar 40,000 orang, dengan tambahan 1,135 orang lagi menuju ke Melilla.
Kesemua mereka yang tiba di Melilla telah dihantar pulang serta-merta, menurut kementerian itu.
Maghribi melaporkan angka kematian seramai 11 orang, manakala pihak berkuasa Sepanyol menyatakan sekurang-kurangnya 72 orang maut ketika cuba menyeberang ke Ceuta.
Pihak berkuasa Maghribi terus bekerjasama dengan Sepanyol untuk mengesahkan laporan mengenai kematian tambahan di Ceuta serta mengenal pasti identiti dan kewarganegaraan mereka yang terlibat, menurut kementerian itu.
-- BERNAMA-dpa