Am 03/08/2026 02:39 PM

Red Box Karaoke Malaysia Buka Cawangan Baharu Di Tarcor Park, Melaka

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Red Box Karaoke Malaysia Buka Cawangan Baharu Di Tarcor Park, Melaka
Kredit: Red Box Karaoke Malaysia

MELAKA, 3 Ogos (Bernama) -- Red Box Karaoke Malaysia merasmikan pembukaan cawangan baharunya di Tarcor Park di sini semalam, sekali gus memperkukuh kehadirannya di negeri bersejarah itu.

Red Box dalam kenyataan hari ini memaklumkan cawangan baharu berkenaan menyediakan sebanyak 28 bilik karaoke persendirian yang direka untuk memenuhi keperluan keluarga, rakan-rakan serta pelanggan korporat.

Menurut syarikat itu, bersempena dengan pembukaan rasmi cawangan tersebut, Red Box turut memperkenalkan promosi bulan pembukaan hingga 31 Ogos 2026 yang menawarkan ganjaran baucar tunai mengikut jumlah perbelanjaan pelanggan sebagai usaha menggalakkan lebih ramai pengguna tempatan dan pelancong mengunjungi cawangan baharu itu.

Selain itu, Red Box turut melancarkan kerjasama strategik dengan Tourism Malaysia bagi meningkatkan pengalaman pelancongan melalui elemen hiburan serta menyokong pertumbuhan industri pelancongan dan ekonomi malam negara.

Red Box berharap pembukaan cawangan baharu di Melaka serta kerjasama strategik bersama dengan Tourism Malaysia akan membuka lebih banyak peluang kerjasama antara sektor hiburan dengan pelancongan pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman lebih menyeluruh kepada pelawat tempatan dan antarabangsa.

"Kerjasama strategik ini merupakan kolaborasi sulung antara Red Box dengan Tourism Malaysia dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang bukan sahaja kaya dengan warisan dan budaya, malah menawarkan pengalaman hiburan, gaya hidup serta ekonomi malam yang lebih dinamik.

"Melalui kerjasama ini, Red Box dan Tourism Malaysia memperkenalkan beberapa inisiatif bagi menggalakkan lebih ramai pelancong menikmati pengalaman hiburan sebagai sebahagian daripada perjalanan mereka di Malaysia," menurut syarikat itu.

Red Box memaklumkan pengunjung yang menunjukkan pas masuk penerbangan yang sah di mana-mana cawangan syarikat itu akan menikmati hidangan sate percuma, manakala mereka yang mengambil gambar di Tourism Malaysia x Red Box Photo Booth di semua cawangan Red Box di seluruh negara akan menerima minuman percuma.

Selain itu, bersempena dengan pembukaan cawangan baharu itu, Red Box turut bekerjasama dengan Kidsnergy yang menganjurkan Kidsnergy Run, acara larian santai keluarga yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Program berkenaan disertai oleh Duta Kidsnergy Goh Liu Ying dan beliau turut berinteraksi bersama-sama peserta sambil mempromosikan gaya hidup aktif dan positif dalam kalangan keluarga.

Majlis pembukaan cawangan baharu Red Box Karaoke Malaysia di Tarcor Park itu berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran 1,000 pengunjung.

Pada majlis itu juga, pengunjung dihiburkan dengan persembahan Nabila Razali dan Bell Foo Xi Ya selain persembahan kebudayaan, tarian singa serta pelbagai aktiviti interaktif yang memeriahkan suasana sepanjang hari.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Red Box Group Terry Swee berkata pembukaan cawangan baharu di Melaka ialah satu lagi pencapaian penting dalam strategi peluasan syarikat, manakala kerjasama dengan Tourism Malaysia membuktikan komitmen Red Box untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman pelancongan negara.

"Melaka adalah antara destinasi pelancongan utama Malaysia yang menerima kunjungan pelancong sepanjang tahun dan kami berharap pembukaan cawangan baharu ini serta kerjasama strategik dengan Tourism Malaysia dapat menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada pelancong, di samping menyokong perkembangan industri pelancongan dan ekonomi malam negara.

"Kami percaya hiburan juga memainkan peranan penting dalam memperkaya pengalaman pelawat ketika berada di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif 9R Limited Karl Khoo berkata Red Box akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah hab sosial yang menghubungkan masyarakat melalui muzik, makanan dan pengalaman bersama.

"Falsafah more than singing sentiasa menjadi teras kami kerana Red Box bukan sekadar sebuah pusat karaoke tetapi sebuah ruang yang menghimpunkan keluarga, rakan-rakan dan komuniti," katanya.

-- BERNAMA