Am 03/08/2026 06:13 PM

10 Tangki Sedutan Baharu Bantu Tangani Gangguan Bekalan Air Di Puncak Gloxinia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
10 Tangki Sedutan Baharu Bantu Tangani Gangguan Bekalan Air Di Puncak Gloxinia
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PAPAR, 3 Ogos (Bernama) -- Pembinaan 10 unit tangki sedutan jenis High-Density Polyethylene (HDPE) berkapasiti 10,000 gelen di Kondominium Puncak Gloxinia, Kinarut, di sini dijangka membantu mengurangkan impak gangguan bekalan air yang sering dihadapi lebih 1,200 unit kediaman di perumahan penjawat awam itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pembinaan tangki berkenaan merupakan susulan kepada Taklimat Penstabilan Bekalan Air Daerah Papar kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pada 28 Julai lepas.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata taklimat berkenaan turut memberikan tumpuan kepada Projek Naik Taraf Muka Sauk Kampung Kabang dan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, yang masing-masing disasarkan mula beroperasi bagi menstabilkan bekalan air di Parlimen Papar pada September dan November tahun ini.

"Kondominium ini mula diduduki pada penghujung 2018 merangkumi enam blok dengan keseluruhan 1,296 unit kediaman dan menjadi antara kawasan paling terkesan apabila berlaku gangguan bekalan di LRA Kogopon kerana terletak di penghujung saluran penerima air bagi tangki utama P3.

“Selain menjadi penerima terakhir, situasi menjadi lebih serius kerana kondominium ini ialah perumahan berstrata dengan 18 tingkat bagi setiap blok,” katanya menerusi kenyataan selepas meninjau lokasi pembinaan tangki berkenaan hari ini.

Armizan berkata walaupun terdapat 24 tangki simpanan atas sedia ada di kawasan berkenaan, kemudahan itu masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk apabila berlaku gangguan bekalan air.

Beliau berkata keadaan itu berbeza dengan kampung tradisional atau kawasan perumahan teres kerana proses penghantaran air ke bangunan bertingkat adalah lebih rumit, termasuk penghuni yang terpaksa mengangkut air dari aras bawah ke kediaman masing-masing.

Sehubungan dengan itu, katanya, Jabatan Air Negeri Sabah akan membina 10 tangki sedutan air tambahan berkapasiti 10,000 gelen setiap satu serta memasang paip penghubung sepanjang 600 meter.

Beliau berkata pertambahan kapasiti itu membolehkan stok bekalan air disalurkan kepada penghuni untuk tempoh lebih lama sekiranya berlaku gangguan sementara, sekali gus membantu menangani isu yang membebani penduduk sejak sekian lama.

-- BERNAMA