Am 03/08/2026 02:39 PM

Kelantan Berdepan Risiko Kebakaran Lebih Tinggi Susulan Super El Nino - JBPM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kelantan Berdepan Risiko Kebakaran Lebih Tinggi Susulan Super El Nino - JBPM

KOTA BHARU, 3 Ogos (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menjangkakan fenomena Super El Nino, yang diramalkan mencapai kemuncaknya menjelang hujung tahun ini, akan meningkatkan risiko kebakaran di negeri itu susulan cuaca lebih panas dan kering, sekali gus menjadikan risiko banjir besar pada tahun ini dijangka rendah atau tidak berlaku.

Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata Kelantan berkemungkinan berdepan dengan ancaman kemarau yang agak teruk, justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan kebakaran lebih besar.

Beliau berkata sebanyak 2,197 panggilan kebakaran diterima dari Januari hingga kini berbanding 373 panggilan bagi keseluruhan tahun lepas, menjadikan Kelantan negeri kedua tertinggi merekodkan kebakaran terbuka selepas Kedah.

“Kita mengesan kebanyakan kebakaran terbuka berpunca daripada pembakaran secara sengaja bagi tujuan pembersihan kawasan dan pertanian, bukannya berlaku secara spontan.

“Kita menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana aktiviti itu boleh dikenakan tindakan, malah beberapa kes telah diangkat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk pendakwaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan Kedah, Perlis dan Kelantan berkemungkinan tinggi berdepan ancaman kemarau agak teruk ketika fenomena Super El Nino yang dijangka mencapai kemuncaknya menjelang hujung tahun ini.

Sementara itu, Farhan Sufyan mengingatkan individu yang menjalankan aktiviti mendulang emas supaya mengutamakan aspek keselamatan kerana kegiatan itu berisiko mengundang kejadian lemas sekiranya langkah berjaga-jaga diabaikan.

Beliau berkata walaupun kerajaan negeri membenarkan aktiviti berkenaan bagi merancakkan ekonomi, pendulang emas perlu sentiasa berwaspada, terutama mereka yang kurang berpengalaman atau baru menceburi aktiviti itu.

“Mereka perlu mendapatkan maklumat mengenai keadaan lokasi selain mengetahui tindakan awal yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan.

“Mereka juga perlu peka terhadap keadaan cuaca, khususnya jika berlaku hujan lebat di kawasan hulu sungai yang boleh menyebabkan paras air meningkat secara mendadak, selain disaran memakai jaket keselamatan sebagai langkah perlindungan diri,” katanya.

Beliau berkata hingga kini, JBPM Kelantan belum menerima sebarang kes lemas membabitkan aktiviti mendulang emas, namun orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti itu.

Pada 21 Mei lepas, media melaporkan dua lelaki maut selepas tertimbus dalam runtuhan tebing sungai setinggi dua meter ketika dipercayai menjalankan aktiviti melombong emas di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong.

Dalam pada itu, Farhan Sufyan berkata Program Jom Renang bagi kanak-kanak berusia bawah 15 tahun berjaya menarik penyertaan 320 peserta daripada sasaran 400 peserta di negeri ini sebagai antara usaha mengurangkan kes lemas.

Beliau berkata sebanyak 25 kematian akibat lemas direkodkan di Kelantan pada 2025, manakala enam lagi kematian dicatat setakat ini.

-- BERNAMA