KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Kuasa besar dunia perlu menggunakan keupayaan ketenteraan mereka secara bertanggungjawab serta menegakkan undang-undang antarabangsa dan orde berasaskan peraturan secara konsisten, bukannya secara terpilih, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata Malaysia melihat negara-negara yang mempunyai keupayaan ketenteraan yang penting sebagai penjaga keamanan dan kestabilan global, satu pengiktirafan yang hadir bersama harapan serta tanggungjawab yang besar.
"Kami tidak bermaksud untuk memberitahu anda bagaimana anda harus mengendalikan dasar luar dan hal ehwal antarabangsa.
"Namun, kami mengharapkan agar perkara itu dilakukan dengan menghormati undang-undang antarabangsa dan orde berasaskan peraturan secara konsisten, bukannya secara terpilih," katanya dalam ucapan alu-aluan pada Persidangan Undang-Undang dan Operasi Ketenteraan Antarabangsa ke-37 (MILOPS 26) di sini pada Isnin.
Mohamed Khaled berkata mesej itu perlu terus dihayati sepanjang persidangan empat hari itu, yang menghimpunkan pemimpin pertahanan, pegawai tentera, pengamal keselamatan negara, pakar perundangan, pembuat dasar dan sarjana dari Indo-Pasifik serta kawasan di luar rantau berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada dialog Indo-Pasifik yang bermakna dapat berlangsung tanpa ASEAN yang aman dan bersatu, sambil menyatakan bahawa Asia Tenggara merupakan teras kepada rantau yang lebih luas.
"Kestabilan ASEAN merupakan asas kepada kestabilan rantau yang lebih luas ini," katanya sambil menambah bahawa seni bina keselamatan ASEAN yang sekian lama diwujudkan mesti kekal menjadi saluran utama untuk sebarang perbincangan substantif mengenai Indo-Pasifik.
Mohamed Khaled berkata Asia Tenggara mesti terus kekal sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), konsep yang dicadangkan oleh Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein.
Visi itu diisytiharkan di Kuala Lumpur oleh negara-negara pengasas ASEAN pada 1971 berlatarbelakangkan Perang Dingin dan persaingan sengit antara kuasa-kuasa besar.
Beliau berkata prinsip itu kekal relevan lebih lima dekad kemudian kerana sikap berkecuali dan dasar tidak memihak telah membolehkan rantau Asia Tenggara yang pelbagai mengelakkan konflik besar, mencapai pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh kerjasama serantau.
"Kami tidak percaya bahawa keamanan memerlukan kita untuk memilih pihak. Sebaliknya, keamanan memerlukan kita menjalinkan dan menghormati semua pihak, sambil kekal berpandukan prinsip dan kepentingan kita," katanya.
Mohamed Khaled turut menyeru semua negara yang menjalinkan hubungan dengan ASEAN supaya memahami dan menghormati Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
Menyifatkan TAC sebagai kod tatakelakuan ASEAN, beliau berkata perjanjian itu merangkumi prinsip saling menghormati, penyelesaian pertikaian secara aman, tidak campur tangan dan kerjasama.
Beliau berkata hubungan dengan ASEAN sepatutnya dipandu oleh prinsip-prinsip itu, yang telah membantu rantau ini mengekalkan keamanan, membina kepercayaan dan memupuk kemakmuran selama beberapa dekad.
Sementara itu, ketika berucap kepada pemimpin dan pegawai tentera yang menghadiri persidangan itu, Mohamed Khaled berkata tujuan ketenteraan bukanlah untuk berperang atau mencetuskan konflik.
"Tujuan sebenar ketenteraan adalah untuk memastikan peperangan dan konflik tidak pernah menjadi suatu keperluan.
"Seboleh mungkin, konflik mesti diselesaikan menerusi dialog aman, pengantaraan dan diplomasi, bukannya melalui peperangan," katanya.
Beliau menambah bahawa kehadiran anggota tentera dan pasukan ketenteraan tidak seharusnya dilihat sebagai usaha untuk mempamerkan kekuatan atau melakukan ugutan, sebaliknya sebagai komitmen bersama terhadap keamanan.
Mohamed Khaled berkata penganjuran MILOPS di Malaysia mencerminkan keyakinan negara sejak sekian lama bahawa dialog dan penglibatan merupakan instrumen paling berkesan untuk mengekalkan keamanan, selain pendekatan pintu terbuka negara terhadap kerjasama berasaskan kepercayaan dan saling menghormati.
Dianjurkan di Kuala Lumpur dari 3 hingga 6 Ogos oleh United States Pacific Command (USPACOM), Persidangan MILOPS 2026 menghimpunkan pegawai kerajaan dan wakil tentera dari lebih 30 negara bagi membincangkan cabaran keselamatan bersama serta meneroka kaedah untuk memperkukuh kerjasama dalam mengekang dan bertindak balas terhadap paksaan, pencerobohan dan peperangan undang-undang di rantau ini.
Persidangan itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kebolehoperasian undang-undang, memperluas latihan bersama dan meningkatkan perkongsian maklumat bagi membina seni bina keselamatan serantau yang lebih berdaya tahan dan bersepadu untuk menangani pencerobohan serta mengekalkan kestabilan.
-- BERNAMA