Am 03/08/2026 03:19 PM

TPM Kemboja Tiba Untuk Lawatan Rasmi, Hadir Mesyuarat JCBC Malaysia-Kemboja Ketiga

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
TPM Kemboja Tiba Untuk Lawatan Rasmi, Hadir Mesyuarat JCBC Malaysia-Kemboja Ketiga
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja Prak Sokhonn tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan rasmi selama dua hari. Lawatan itu dijangka memberikan momentum baharu dalam hubungan antara dua negara.

SEPANG, 3 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja Prak Sokhonn tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan rasmi selama dua hari.

Lawatan itu dijangka memberikan momentum baharu dalam hubungan antara dua negara.

Sokhonn dan delegasinya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 1.48 tengah hari dengan menaiki penerbangan komersial. 

Yang turut hadir menyambut ketibaan Sokhonn di lapangan terbang itu ialah Duta Besar Kemboja ke Malaysia Ouk Chandara dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Datuk Rozainor Ramli.

Sejurus tiba, Sokhonn dijadualkan mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum meneruskan program rasmi beliau.

Sokhonn juga dijadualkan menghadiri Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama untuk Kerjasama Dua Hala (JCBC) Kemboja–Malaysia di Kuala Lumpur esok, yang akan meneliti secara menyeluruh kemajuan pelaksanaan minit yang dipersetujui dalam mesyuarat JCBC kedua serta pelbagai perjanjian dua hala yang dimuktamadkan sebelum ini.

Beliau turut dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jumlah dagangan dua hala Malaysia–Kemboja meningkat sebanyak 27.4 peratus pada 2025, mencecah RM5 bilion (USD1.17 bilion) berbanding tahun sebelumnya. Eksport Malaysia ke Kemboja berjumlah RM4.13 bilion (USD970 juta), manakala import sebanyak RM880 juta (USD200 juta).

Setakat 2024, pelaburan terkumpul Malaysia di Kemboja berjumlah USD3.20 bilion (RM13.07 bilion) merangkumi 162 projek berdaftar, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pelabur asing ketiga terbesar di Kemboja.

-- BERNAMA