Dua beranak ini mungkin tinggal jauh di pedalaman Pahang - nun di Kampung Gusai, Ulu Tembeling yang berjarak lebih 100 kilometer dari bandar Jerantut dan dipisahkan oleh Sungai Tembeling.
Namun, kemudahan teknologi maklumat membolehkan Muhammad Aiman Uyob, 27 dan bapanya Uyob Ahmad, 59, menjana pendapatan puluhan ribu ringgit menerusi pertanian fertigasi, teknologi yang dipelajari mereka melalui panggilan video dengan seorang kenalan yang bertani dengan kaedah sama.
Mengusahakan tanaman timun tua sejak awal tahun, dua beranak ini menuai hasil pertama mereka sebanyak 14,000 kilogram pada Februari lepas yang membawa pulangan kira-kira RM40,000.
Berkongsi kisah mereka dengan Bernama, Muhammad Aiman berkata keseluruhan proses pertanian fertigasi itu dipelajari hanya menerusi panggilan video dan juga Internet, sekalipun talian komunikasi tidak begitu stabil kerana kedudukan mereka yang jauh terpencil.
“Saya pelajari teknik membaja dan meracun semuanya menerusi panggilan video. Pada peringkat awal memang banyak perkara yang tidak tahu, tetapi sedikit demi sedikit saya belajar sehingga, alhamdulillah, berjaya mengutip hasil yang memuaskan,” kata anak kelima daripada enam beradik itu.
MINAT BIDANG PERTANIAN
Bercerita lanjut, anak muda ini berkata dia yang berhijrah ke ibu negara pada usia awal 20-an, memutuskan untuk pulang ke kampung dan membantu ayahnya mengusahakan kebun pisang.
“Saya ke Kuala Lumpur dan kerja kilang, tetapi tidak kena dengan jiwa. Kehidupan di bandar agak berbeza dan saya tidak dapat menyesuaikan diri. Jadi, saya ambil keputusan untuk pulang ke kampung bantu ayah usahakan kebun pisang.
“Dari situ saya belajar selok-belok pertanian dan melihat sendiri potensi bidang ini untuk menjana pendapatan,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya dia mula mencari tanaman alternatif agar dapat meraih pulangan lebih cepat selain mahu menangani masalah serangan haiwan liar.
“Setiap kali pokok mula mengeluarkan hasil, ada sahaja gangguan daripada haiwan seperti kera dan babi hutan. Banyak buah pisang rosak dan tidak sempat dituai, menyebabkan kami mengalami kerugian.
“Kadang-kadang hasil yang diharapkan untuk dijual berkurangan dengan banyak kerana dimakan atau dimusnahkan haiwan liar. Keadaan itu berlarutan dan menyebabkan kami terpaksa memikirkan tanaman lain yang lebih sesuai,” celah Uyob, menambah dia mengusahakan tanaman pisang sebagai sampingan kepada kebun getah bagi menjana pendapatan keluarga.
Tidak sanggup untuk terus menanggung kerugian, Uyob berkata dia dan anaknya memutuskan untuk beralih kepada tanaman lain.
“Selepas diteliti, kami dapati timun amat sesuai kerana tanaman itu lebih mudah ditanam dan tempoh untuk mengeluarkan hasil juga lebih singkat, iaitu sekitar 50 hingga 60 hari berbanding sesetengah tanaman lain,” tokok Muhammad Aiman.
Bagaimanapun anak muda ini tidak mahu mengusahakan tanaman itu secara konvensional, dan selepas menyelidik, dia mendapati kaedah fertigasi amat sesuai kerana bukan sahaja tidak memerlukan kawasan yang luas tetapi juga lebih mudah dijaga.
BERMULA EPISOD PANGGILAN VIDEO
Dari situ bermula episod Muhammad Aiman dan ayahnya berhubung dengan kenalan mereka yang mengusahakan pertanian secara fertigasi di Pulau Mansok di sini, secara panggilan video.
Menurut petani muda itu, selepas memperoleh maklumat diperlukan, dia ke bandar Jerantut dan membeli beg tanaman atau polibeg, baja dan benih dengan tanaman permulaan melibatkan 2,000 polibeg di atas tapak seluas 0.761 hektar bersebelahan rumah mereka.
“ Alhamdulillah, tanaman ini lebih mudah diuruskan dan hasilnya juga lebih cepat diperoleh,” kata Uyob.
Berbanding kenalan mereka yang menanam pelbagai jenis sayur-sayuran termasuk cili, dua beranak ini hanya mahu menumpukan pada timun tua terlebih dahulu.
Menurut Uyob, mereka memilih timun tua kerana buah yang dimakan sebagai sayur itu mempunyai permintaan tinggi selain harganya agak mahal, iaitu mencecah RM5 sekilogram, bergantung pada permintaan dan bekalan.
“Timun tua ini sesuai digunakan dalam masakan patin tempoyak dan sup. Permintaan memang tinggi, terutamanya di Pasar Borong Selayang (Selangor). Jadi, kami juga hantar timun kami ke sana,” katanya.
BAWA HASIL GUNA BOT
Menyentuh cabaran mengusahakan tanaman timun tua pula, Uyob berkata kekangan utama mereka ialah logistik untuk membawa hasil ke pasaran.
Disebabkan timun adalah sejenis produk tani cepat rosak, dia berkata hasil tuaian harus segera dibawa ke pasar.
“Kami angkut guna bot dulu yang ambil masa kira-kira 40 minit hingga satu jam untuk tiba di jeti Kampung Bantal. Dari situ, kami angkut guna lori, iaitu perjalanan sejauh lebih 100 km ke pekan Jerantut, dan di sana kami atur untuk bawa ke Pasar Borong Selayang,” jelasnya.
Menurut Uyob, sekalipun berisiko menyusuri Sungai Tembeling, mereka tidak ada banyak pilihan memandangkan perjalanan darat merentasi jalan tanah merah, yang hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda, akan mengambil masa kira-kira dua setengah jam untuk tiba di pekan.
“Tetapi kami alah bisa tegal biasa. Memang kami bergantung pada sungai sebagai pengangkutan kerana lebih mudah,” katanya lagi.
TEKAD LUASKAN TANAMAN
Kegigihan dua beranak ini mengusahakan pertanian fertigasi di sebalik kekangan tinggal di pedalaman, mendapat perhatian Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan berangkat meluangkan masa melawat projek fertigasi itu pada Mei lepas.
Baginda yang disembah maklum akan projek tersebut oleh penduduk kampung berkenaan meluangkan masa meninjau sekitar kebun fertigasi itu.
Perhatian diraja yang diterima berserta pendapatan lumayan menjadi pembakar semangat untuk Uyob meningkatkan lagi pengeluaran timun tua.
“Saya dalam perancangan untuk menambah bilangan polibeg bagi menggandakan hasil, dan kini kami telah memasuki pusingan ketiga proses menanam dan hasilnya akan dapat dituai tidak lama lagi,” katanya, bersemangat.
Kejayaan Uyob dan anaknya membuktikan walaupun tinggal jauh di pedalaman, talian komunikasi - walaupun kurang stabil - yang dimanfaatkan dengan baik mampu mengubah nasib seseorang. Ringkasnya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.