KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pasukan orkestra Sekolah Seri Puteri, Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) atas kejayaan meraih Gold With Distinction dalam pertandingan Wind Band Youth Division di World Music Contest di Belanda.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus berusaha dengan tekad, disiplin dan semangat yang tidak pernah luntur demi mengharumkan nama negara.
“Syabas dan terus melakar lebih banyak kejayaan,” kata Anwar.
Pada April lepas, Perdana Menteri mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada pasukan orkestra SPWinds sebagai tanda sokongan serta galakan untuk melaksanakan program dan aktiviti yang menyumbang kepada kemenjadian murid melalui kecemerlangan seni.
Sumbangan itu diumumkan ketika beliau hadir menonton persembahan "Winds of Glory: AM:PM Amir Masdi & SPWinds in Concert” yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 25 April lepas.
Pasukan orkestra SPWinds sebelum ini pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila merangkul Anugerah Emas di Festival Orkestra Dunia ke-11, yang berlangsung di Vienna, Austria dari 23 hingga 26 Julai tahun lepas.
-- BERNAMA