KOTA BHARU, 2 Ogos (Bernama) -- Polis Kelantan meminta pihak berkuasa Thailand untuk menyalurkan maklumat atau bukti sekiranya benar suspek insiden tembakan yang mengorbankan lima anggota keselamatan negara itu baru-baru ini melarikan diri ke Malaysia.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat risikan yang mengesahkan dakwaan itu selain pemantauan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan semua ibu pejabat polis daerah tidak mengesan sebarang pergerakan suspek memasuki Malaysia.
“Setiap kali berlaku insiden tembakan atau letupan bom di selatan Thailand, sering timbul dakwaan suspek melarikan diri ke Malaysia.
“Jika benar mereka mempunyai maklumat, salurkan kepada kita supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Permuafakatan PDRM bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata sejak mula bertugas di Kelantan, beliau memberikan penekanan kepada usaha menutup laluan haram di sepanjang sempadan bagi mengekang aktiviti rentas sempadan melibatkan penyeludupan, jenayah serta kemasukan individu dikehendaki.
Beliau berkata dengan kawalan yang dipertingkatkan, dakwaan suspek kes jenayah mudah meloloskan diri ke Malaysia sepatutnya tidak lagi timbul.
“Saya menyambut baik langkah kerajaan Thailand yang bercadang membina pagar keselamatan sepanjang kira-kira lebih 90 kilometer di kawasan sempadan kerana usaha itu mampu memperkukuh kawalan di kedua-dua negara,” katanya.
Sementara itu, mengenai mesyuarat tersebut, Mohd Yusoff berkata pihaknya dan JPN Kelantan akan memperkukuh kerjasama bagi memperhalusi pelbagai isu sosial melibatkan pelajar termasuk faktor keluarga dan peranan ibu bapa bagi memastikan intervensi dapat dilaksanakan lebih awal serta berkesan.
-- BERNAMA