Am 02/08/2026 10:30 PM

APMM Tahan Dua Kapal Korek Bawa Muatan Pasir Berlebihan Di Pulau Rimau

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
APMM Tahan Dua Kapal Korek Bawa Muatan Pasir Berlebihan Di Pulau Rimau

GEORGE TOWN, 2 Ogos (Bernama) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang menahan dua kapal korek membawa muatan pasir melebihi had dibenarkan berhampiran Pulau Rimau, semalam.

Pengarah Maritim negeri Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kapal itu ditahan kira-kira 2.7 batu nautika barat daya Pulau Rimau oleh bot peronda yang melakukan rondaan rutin di perairan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati setiap kapal dikendalikan oleh 14 kru warga asing terdiri daripada lima warga Indonesia dan sembilan warga China, manakala kedua-duanya dinakhodai oleh warga Indonesia berumur 28 dan 31 tahun.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kapal disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana membawa muatan pasir melebihi had yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Suffi berkata tiga kru daripada setiap kapal berkenaan ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan serta siasatan lanjut, dengan keseluruhan nilai rampasan kedua-dua kapal berserta muatan pasir dianggarkan berjumlah RM400 juta.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara dan akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pelayaran serta kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara.

– BERNAMA