Oleh David Andreas
JAKARTA, 2 Ogos (Bernama) -- Sekurang-kurangnya lima maut manakala 41 lagi hilang selepas sebuah feri penumpang terbakar di perairan utara Sumenep, Madura, Indonesia, pagi tadi.
Ketua Pejabat Pencarian dan Pertolongan Surabaya Nanang Sigit berkata KMP Mutiara Santosa 2 yang membawa 232 penumpang dan 39 kru, terbakar dalam pelayaran dari Surabaya ke Makassar.
Sehingga 4 petang waktu tempatan, 225 penumpang berjaya diselamatkan.
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 8.24 pagi waktu tempatan dan operasi menyelamat terus digerakkan untuk memindahkan penumpang dan kru.
“Sebahagian besar kapal hampir musnah dijilat api…penumpang berkumpul di anjungan dan bahagian hadapan kapal sementara menunggu bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Nanang berkata beberapa penumpang dilapor bertindak terjun ke laut bagi menyelamatkan diri telah diselamatkan bot yang berada berhampiran.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat, yang melibatkan pelbagai agensi serta penggunaan pelbagai aset dan anggota, sedang giat dijalankan bagi mengesan penumpang yang masih hilang.
Beliau berkata punca kebakaran feri itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.
-- BERNAMA