Dunia 02/08/2026 07:16 PM

Kebakaran Hutan Di Greece Marak, Ancam Bandar Megara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kebakaran Hutan Di Greece Marak, Ancam Bandar Megara
A firefighter tries to tackle a wildfire burning near the village of Petries on the island of Evia, Greece, July 30, 2024. REUTERS/Giorgos Moutafis

ATHENS, 2 Ogos (Bernama-dpa) -- Pasukan pemadam kebakaran Greece meneruskan usaha menangani kebakaran hutan berskala besar di barat Athens pada Ahad.

Ratusan anggota penyelamat bertugas sepanjang malam di Pergunungan Kithairon dengan dibantu kenderaan tentera, sukarelawan dan peralatan berat, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Pada subuh Ahad, pesawat dan helikopter pemadam kebakaran meneruskan operasi memadam api, lapor penyiar tempatan, ERT.

Kawasan Veniza dan Psatha dilaporkan terjejas teruk berikutan tiupan angin kencang yang menyebabkan api merebak pantas.

Menurut anggota penyelamat, kebakaran itu terus merebak ke arah timur dan kini hanya berada beberapa kilometer dari Bandar Megara, kira-kira 50 kilometer di barat ibu negara Greece.

Laporan rasmi mengesahkan sekurang-kurangnya 500 anggota bomba sedang bergelut memadamkan kebakaran, termasuk kru bantuan dari Romania dan Perancis.

Jurucakap jabatan bomba berkata setakat ini 13 individu ditahan di seluruh negara atas dakwaan menyebabkan kebakaran akibat kecuaian.

Dalam pada itu, kebakaran besar turut berlaku di Pulau Cephalonia, namun ERT melaporkan tiada kawasan penempatan yang terancam buat masa ini.

Sementara itu, media tempatan melaporkan kebakaran hutan di Crete sebahagian besarnya berjaya dipadamkan. Beberapa kawasan penempatan diarah dikosongkan dengan laporan media menganggarkan sehingga 200 kediaman musnah, namun jumlah itu belum disahkan secara rasmi.

Pakar meteorologi menerusi portal berita Protothema menganggarkan kira-kira 10,000 hektar kawasan di barat laut dan barat wilayah Athens telah musnah akibat kebakaran terkini itu.

--BERNAMA-dpa