MADRID, 2 Ogos (Bernama-dpa) -- Beberapa lagi mayat ditemukan di perairan Ceuta susulan kebanjiran puluhan ribu pendatang ke wilayah eksklaf Sepanyol di Afrika Utara itu, menjadikan jumlah keseluruhan korban meningkat kepada 72 orang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan seorang pegawai Kerajaan Sepanyol pada Ahad.
Wakil Kementerian Dalam Negeri Sepanyol di Ceuta, Miguel Ángel Pérez Triano memberitahu wartawan bahawa penemuan terbaharu itu meningkatkan angka korban rasmi daripada 67 orang sebelum ini.
Pasukan perkhidmatan kecemasan masih meneruskan operasi pencarian di laut bagi mengesan lebih banyak mayat.
Penyiar rasmi Sepanyol, RTVE melaporkan pada Jumaat dengan memetik pihak berkuasa bahawa sebahagian besar mangsa lemas ketika cuba berenang dari Maghribi ke wilayah eksklaf berkenaan.
Foto dan rakaman televisyen memaparkan pelbagai tiub renang serta tiub kenderaan yang digunakan oleh pendatang untuk sampai ke Ceuta dari bandar pesisir pantai Fnideq di Maghribi, manakala sebahagian lagi memanjat pagar sempadan.
Anggaran rasmi menunjukkan seramai 50,000 hingga 60,000 pendatang memasuki wilayah itu secara tidak sah minggu ini, terutamanya pada Rabu dan Khamis.
Kerajaan Sepanyol memaklumkan hampir semua pendatang berkenaan telah kembali ke Maghribi.
Bagaimanapun, RTVE melaporkan beberapa ratus pendatang baharu masih berada di Ceuta sepanjang hujung minggu ini.
-- BERNAMA-dpa