Am 03/08/2026 02:47 AM

Glasgow 2026: Nurul Izzah Tutup Kempen Dengan Peningkatan Positif

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Glasgow 2026: Nurul Izzah Tutup Kempen Dengan Peningkatan Positif
Nurul Izzah Izzati Mohd Asri

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

GLASGOW, 2 Ogos (Bernama) -- Pelumba berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mengakhiri saingan acara keirin Sukan Komanwel Glasgow 2026 di posisi ke-10, selepas menamatkan perlumbaan penentuan tempat ketujuh hingga ke-12 di Velodrom Sir Chris Hoy di sini, hari ini.

Pada perlumbaan penentuan itu, Nurul Izzah melintasi garisan penamat di tempat keempat dalam kelompok enam pelumba.

Pingat emas menjadi milik pelumba Wales Emma Finucane, diikuti Ellesse Andrews dari New Zealand yang meraih perak, manakala gangsa dimenangi Kristina Clonan (Australia).

Seorang lagi wakil negara Nur Alyssa Mohd Farid tidak berjaya melepasi pusingan awal dan diklasifikasikan pada kedudukan ke-13 bersama Sarah Orban dari Kanada.

Keputusan itu menutup kempen Nurul Izzah di Glasgow, selepas sebelum ini hampir menghadiahkan pingat buat kontinjen negara apabila menamatkan saingan acara pecut wanita di tempat keempat, tewas kepada pelumba Wales Rhian Edmunds dalam perlumbaan penentuan gangsa.

Atlet berusia 22 tahun itu berjaya memperbaiki pencapaian terkandas di pusingan pertama keirin dan kedudukan ke-22 dalam acara pecut, dalam penampilan pertamanya pada edisi Birmingham 2022.

Secara keseluruhan, skuad berbasikal negara memperbaiki pencapaian berbanding edisi Birmingham 2022 selepas meraih satu pingat emas menerusi Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin lelaki pada edisi kali ini.

Pada edisi lepas, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menjadi satu-satunya penyumbang pingat buat skuad berbasikal negara, apabila meraih gangsa dalam acara sama selepas Malaysia gagal membawa sebarang pingat pada edisi 2018 Gold Coast.

-- BERNAMA