Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
GLASGOW, 2 Ogos (Bernama) -- Malaysia menutup kempen Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan pencapaian membanggakan apabila meraih lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa untuk menduduki tempat ke-10 keseluruhan.
Kutipan lapan emas itu, merupakan pencapaian terbaik negara sejak meraih 12 emas pada edisi New Delhi 2010, sekali gus mengatasi pencapaian Birmingham 2022 dengan kelebihan satu emas, selain melepasi sasaran lima emas, dua perak dan empat gangsa yang ditetapkan.
Kejayaan itu lebih signifikan, apabila diraih menerusi kontinjen yang jauh lebih kecil dengan Malaysia iaitu dengan 59 atlet termasuk 22 atlet paralimpik dan hanya mengambil bahagian dalam lapan daripada 10 jenis sukan dan 63 daripada keseluruhan 215 acara yang dipertandingkan.
Ketua Kontinjen Malaysia Datuk Awalan Abdul Aziz menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai detik bersejarah buat sukan negara, selepas sasaran bagi setiap warna pingat berjaya diatasi.
“Alhamdulillah, kita telah melepasi sasaran bagi semua warna pingat dengan meraih lapan emas, tiga perak dan lima gangsa.
“Pencapaian ini, penghargaan kepada atlet yang bekerja keras. Sama ada mereka memenangi pingat ataupun tidak, semua atlet telah mencuba sedaya upaya dan memberikan yang terbaik untuk kontinjen negara,” katanya pada sidang media rumusan pencapaian kontinjen negara di sini, hari ini.
Walaupun jumlah keseluruhan pingat lebih rendah berbanding 23 yang diraih pada Birmingham 2022, kempen di Glasgow boleh dianggap lebih efisien berdasarkan saiz kontinjen dan jumlah acara disertai.
Empat tahun lepas, Malaysia menghantar 105 atlet untuk mengambil bahagian dalam 15 jenis sukan dan 96 acara, sebelum membawa pulang tujuh emas, lapan perak serta lapan gangsa.
Awalan berkata pencapaian kontinjen tidak mungkin direalisasikan tanpa sokongan menyeluruh Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta persatuan sukan kebangsaan.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) susulan pencapaian luar biasa skuad angkat berat, yang menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan pingat negara.
“Pencapaian yang diraih adalah milik atlet, manakala peranan kami ialah menyediakan sistem sokongan supaya mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya, dalam usaha mencapai kejayaan,” kata Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) itu.
Awalan berharap kejayaan di Glasgow menjadi landasan kukuh untuk kontinjen negara menghadapi kejohanan antarabangsa seterusnya, khususnya Sukan Asia Aichi-Nagoya, selain menyemarakkan usaha merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara sukan.
Angkat berat muncul sebagai tulang belakang kejayaan kontinjen pada edisi kali ini apabila menyumbang lima emas, satu perak dan satu gangsa menerusi sembilan atlet yang diturunkan.
Lima emas itu diraih Mohamad Aniq Kasdan dalam kategori 60 kilogram (kg) lelaki, Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg), Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg) dan Muhamad Syahmi Nor Ghazali (94kg), dengan kesemua mereka turut mencipta keseluruhan 10 rekod baharu temasya.
Sementara Siti Aqilah Farhana Draman serta Irene Jane Henry masing-masing memenangi perak kategori 86kg dan gangsa 48kg wanita.
Judo pula mencipta sejarah menerusi Amir Daniel Abdul Majeed, yang menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam sukan itu di Sukan Komanwel, selepas menjuarai kategori bawah 81kg lelaki.
Di Velodrom Sir Chris Hoy, Datuk Mohd Azizulhasni Awang memastikan penampilan terakhirnya di temasya berkenaan berakhir dengan penuh bergaya apabila menjuarai acara keirin lelaki, sekali gus melengkapkan koleksi pingatnya dengan emas sulung Sukan Komanwel.
Juara Paralimpik Datuk Abdul Latif Romly turut mencatat sejarah apabila memenangi emas acara sulung lompat jauh lelaki T20, sementara Eljoe Gotuoh meraih gangsa.
Boling padang pula menghadiahkan masing-masing dua perak dan dua gangsa, termasuk gangsa disumbangkan kem boling padang para.
Izzat Shameer Dzulkeple menjadi atlet pertama negara meraih pingat dalam acara singles lelaki selepas membawa pulang perak, selain kejayaan pasangan Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dalam acara pairs wanita.
Jaguh powerlifting para Bonnie Bunyau Gustin pula menyumbang gangsa dalam acara lightweight lelaki.
Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang bermula pada 23 Julai lepas akan melabuhkan tirai malam ini.
-- BERNAMA