KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- MBSB Bank Bhd memeterai perjanjian dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd bagi menyokong pelaksanaan Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G U Mobile menerusi penyediaan peralatan dan perkhidmatan.
Dalam satu kenyataan hari ini, MBSB berkata kemudahan patuh syariah itu membolehkan Huawei menerima dana lebih awal bagi aset belum terimanya, sekali gus menguruskan keperluan modal kerja dan menyokong pelaksanaan berterusan infrastruktur digital negara.
Transaksi berkenaan merupakan penggunaan pertama pembiayaan pembelian Islam berstruktur oleh Huawei Malaysia untuk menerima dana lebih awal daripada bayaran pelanggan yang masih belum diterima.
Ia juga merupakan antara urus niaga terbesar MBSB Bank setakat ini dalam pembiayaan perdagangan berstruktur dan pembiayaan berasaskan bayaran belum terima.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Rafe Haneef berkata keperluan pembiayaan itu perlu berkembang seiring dengan kemajuan teknologi selaras usaha Malaysia mempercepat agenda transformasi digitalnya.
"Kerjasama ini turut mencerminkan komitmen MBSB untuk membantu merealisasikan pelaburan yang memperkukuh infrastruktur negara, menyokong pertumbuhan ekonomi dan membina asas yang kukuh untuk masa hadapan Malaysia," katanya.
-- BERNAMA