KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- DAP akan mengemukakan usul bagi menentukan sama ada parti itu akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat baki penggal Parlimen ini pada Persidangan Kebangsaan yang dijadual berlangsung 16 Ogos ini.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti berkenaan malam ini.
“Kita serahkan kepada kebijaksanaan para perwakilan untuk membuat keputusan sama ada DAP harus kekal dalam kerajaan sampai akhir tempoh ini ataupun sebaliknya,” kata beliau selepas mempengerusikan Mesyuarat CEC di Ibu Pejabat DAP di sini.
Turut hadir Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Timbalan Setiausaha Agung DAP Hannah Yeoh dan barisan pimpinan tertinggi parti itu.
Menyentuh mengenai sama ada CEC mempunyai pendirian berhubung usul itu sebelum Persidangan Kebangsaan berlangsung, Loke berkata jawatankuasa tertinggi parti berkenaan tidak membuat sebarang ketetapan rasmi.
“Kita memang ada membahas perkara ini tetapi CEC tidak membuat apa-apa pendirian kerana yang penting ialah keputusan perwakilan.
“Jadi, kita tidak mahu ada apa-apa pendirian untuk memandu keputusan perwakilan... perwakilan ada kebebasan mutlak untuk membuat keputusan mereka,” katanya sambil menambah semua perwakilan akan mengundi berhubung usul berkenaan.
Loke berkata meskipun terdapat pelbagai pandangan dalam kalangan anggota CEC, ia adalah pandangan peribadi masing-masing dan tidak mewakili pendirian rasmi parti.
“Kita mengamalkan sistem demokrasi dalaman, jadi keputusan mengenai kedudukan kita dalam kerajaan bukan ditentukan oleh saya atau Pengerusi Kebangsaan Gobind Singh Deo.
“Walaupun saya Setiausaha Agung dan Gobind ialah Pengerusi, keputusan sama ada kita kekal atau tidak dalam kerajaan akan ditentukan oleh para perwakilan sebagai keputusan kolektif parti,” katanya.
-- BERNAMA