Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 3 Ogos (Bernama) -- Indonesia dan Thailand pada Isnin berikrar untuk terus menyokong usaha diterajui ASEAN bagi memulihkan keamanan di Myanmar melalui kemajuan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) menerusi dialog inklusif, penghentian keganasan dan akses bantuan kemanusiaan yang lebih luas.
Komitmen berkenaan dibuat semasa Rundingan Pemimpin kali kedua antara Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul di Istana Merdeka, Jakarta.
“Kami menegaskan semula kepentingan mengekalkan perpaduan dan pemusatan ASEAN sebagai tonggak keamanan, kestabilan serta pembangunan ASEAN,” kata Prabowo pada satu sidang media bersama.
Beliau berkata Indonesia dan Thailand akan terus bekerjasama untuk menggalakkan ASEAN memainkan peranan membina dalam mencapai keamanan mampan di Myanmar.
Selain isu-isu serantau, Prabowo berkata Indonesia dan Thailand turut bersetuju memperkukuh kerjasama pertahanan dan keselamatan dengan mempertingkat usaha bersama bagi membanteras jenayah rentas sempadan, termasuk sindiket penipuan dalam talian, menerusi perkongsian maklumat risikan yang lebih rapat, siasatan bersama, pengesanan kewangan serta penyelarasan penguatkuasaan undang-undang.
Persetujuan itu turut merangkumi perkongsian maklumat risikan, pengesanan kewangan, siasatan bersama serta penyelarasan penguatkuasaan undang-undang untuk menumpaskan rangkaian jenayah rentas sempadan.
“Di tengah-tengah ketidaktentuan global yang semakin meningkat serta cabaran keselamatan bukan tradisional yang kian kompleks, Indonesia dan Thailand mesti terus memainkan peranan sebagai peneraju dalam memperkasakan daya tahan dan kerelevanan ASEAN.
Untuk itu kami bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama politik dan keselamatan, terutamanya dalam menangani pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan, termasuk usaha untuK membanteras operasi penipuan dalam talian,” katanya.
Prabowo berkata Indonesia dan Thailand juga bersetuju untuk menyokong pembangunan Mekanisme Rujukan Rentas Sempadan (TRM) bagi mempercepat pengenalpastian, perlindungan serta penghantaran pulang mangsa jenayah rentas sempadan secara selamat dan bermartabat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand kerana memudah cara penghantaran pulang hampir 1,000 warga Indonesia yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian.
Sementara itu, Anutin berkata Thailand akan meneruskan latihan ketenteraan bersama secara berkala, berkongsi maklumat dan kerjasama keselamatan maritim dengan Indonesia, di samping mencadangkan perluasan kolaborasi industri pertahanan, termasuk pembekalan 36 kenderaan perisai beroda amfibia kepada Indonesia.
Beliau juga mencadangkan kerjasama yang lebih rapat untuk membanteras jenayah rentas sempadan, terutamanya operasi penipuan dalam talian, pemerdagangan manusia dan penyeludupan dadah menerusi penguatkuasaan undang-undang yang ditingkatkan, perkongsian maklumat risikan dan pembinaan keupayaan.
"Thailand juga bersedia untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam kalangan ASEAN bagi membanteras rangkaian penipuan dalam talian dan menangani penyeludupan hidupan liar rentas sempadan," katanya.
Anutin tiba di Jakarta pada Isnin bagi lawatan rasmi pertamanya ke Indonesia sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand ke-32 pada September 2025. Lawatan itu menandakan lawatan pertama oleh Perdana Menteri Thailand ke Indonesia dalam tempoh 15 tahun.
-- BERNAMA