KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa dan kemudiannya menyusut apabila pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati berikutan ketidaktentuan yang masih berterusan di pasaran global, kata penganalisis.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.58 mata kepada 1,723.15 mata berbanding 1,725.73 mata semasa ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran dibuka menokok 0.21 mata kepada 1,725.94 mata.
Bagaimanapun sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 236 berbanding 95 manakala 305 kaunter tidak berubah, 2,100 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 134.14 juta saham bernilai RM99.45 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup tinggi pada Isnin apabila ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang semakin reda meningkatkan sentimen pasaran.
Keadaan ini turut memacu harga minyak dan hasil bon Perbendaharaan AS yang lebih rendah menjelang minggu yang sibuk dengan pengumuman prestasi kewangan korporat dan data ekonomi penting.
Di dalam negara, beliau berkata FBM KLCI melantun semula ke zon positif semalam berikutan aktiviti belian pada saat-saat akhir dalam saham berwajaran tinggi terpilih.
"Walaupun pasaran tempatan terus menerima sokongan daripada aktiviti belian pada harga rendah terpilih, kami masih mengekalkan pendekatan berwaspada berikutan ketidaktentuan yang berterusan di pasaran global.
"Sehubungan itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,720 hingga 1,730 mata hari ini," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM10.80, Public Bank turun satu sen kepada RM5.19, CIMB Group merosot tiga sen kepada RM7.98 manakala Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM14.50 dan RM8.30.
Bagi saham paling aktif, NationGate Holdings meningkat tiga sen kepada RM1.26, GIIB Holdings naik satu sen kepada 45 sen, Kinergy Advancement kekal pada 41.5 sen manakala MAG Holdings dan NexG masing-masing menokok setengah sen kepada 16.5 sen dan 28 sen.
Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak 66 sen kepada RM46.68, Vitrox Corporation menambah 23 sen kepada RM8.93, Kelington Group meningkat 20 sen kepada RM8.40, Sunway Construction naik 13 sen kepada RM7.88 manakala UWC menokok 10 sen kepada RM6.45.
Kaunter rugi pula menyaksikan United Plantations merosot RM1.16 kepada RM33.04, QL Resources susut sembilan sen kepada RM4.04, Time DotCom turun lima sen kepada RM5.95 manakala RHB Bank dan Maxis masing-masing berkurangan empat sen kepada RM8.62 dan RM3.62.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 meningkat 22.10 mata kepada 18,132.62, Indeks FBM Emas Shariah naik 2.06 mata kepada 12,559.43 manakala Indeks FBM ACE menambah 29.29 mata kepada 5,010.61.
Bagaimanapun Indeks FBM Emas rendah 7.42 mata kepada 12,745.0 dan Indeks FBM Top 100 susut 10.17 mata kepada 12,575.03.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.43 mata kepada 187.73 dan Indeks Tenaga susut 2.44 mata kepada 761.45 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 43.39 mata kepada 20,394.80 dan Indeks Perladangan susut 43.57 mata kepada 9,261.48.
-- BERNAMA