KANGAR, 3 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis optimis sasaran 20 pingat emas mampu direalisasikan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Ogos ini.
Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata beliau yakin atlet Perlis telah membuat persediaan terbaik dari segi fizikal, mental dan emosi sekali gus mampu bersaing dengan atlet dari negeri-negeri lain.
"Sebagaimana yang dizahirkan melalui titah Raja Muda Perlis (Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail), kontinjen Perlis menyasarkan 20 pingat emas pada temasya SUKMA Selangor 2026.
"Sasaran ini bukanlah satu tekanan, tetapi satu cabaran membuktikan bahawa Perlis mempunyai atlet yang mampu bersaing dengan mana-mana negeri di Malaysia. Percayalah kepada latihan dilalui, pengorbanan dicurahkan dan kemampuan diri sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Perlis sempena SUKMA dan Para SUKMA 2026 di Stadium Tuanku Syed Putra di sini malam tadi.
SUKMA Selangor dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos manakala Para SUKMA dari 5 hingga 10 Sept.
Abu Bakar berkata Perlis menghantar 379 atlet bagi SUKMA manakala 54 atlet Para SUKMA dengan keseluruhan kontinjen membabitkan 684 orang termasuk jurulatih, pengurus pasukan, pegawai dan urus setia.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan atlet supaya sentiasa menjaga disiplin, integriti dan semangat kesukanan sepanjang temasya sukan berkenaan berlangsung selain menghormati pegawai pertandingan, pihak lawan dan rakan sepasukan.
"Anda bukan sekadar mengejar pingat. Anda sedang membawa maruah Perlis. Berjuanglah dengan hati ikhlas, semangat membara dan keyakinan bahawa tiada kejayaan tanpa pengorbanan.
“Kerajaan negeri akan terus komited memperkukuh pembangunan sukan menerusi Majlis Sukan Negeri Perlis dan persatuan sukan negeri bagi melahirkan lebih ramai atlet berpotensi pada masa hadapan,” katanya.
Abu Bakar berkata sasaran 20 pingat emas itu disandarkan kepada sukan yang dikenal pasti berpotensi menyumbang kejayaan antaranya silat, taekwondo, wusyu, sepak takraw, angkat berat dan olahraga.
-- BERNAMA