Dunia 03/08/2026 06:26 PM

Tiada Rundingan Dengan AS, Bekerjasama Dengan Oman Wujud Laluan Selamat - Iran

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tiada Rundingan Dengan AS, Bekerjasama Dengan Oman Wujud Laluan Selamat - Iran

ISTANBUL, 3 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Iran pada Isnin menyatakan ia tidak mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) dan sedang bekerjasama dengan Oman untuk mewujudkan "laluan sementara" di Selat Hormuz bagi memastikan pelayaran selamat di laluan air strategik itu, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.

Bercakap dalam taklimat media, jurucakap Kementerian Luar Negeri Esmaeil Baqaei berkata perbincangan Tehran dengan Muscat bertujuan mewujudkan laluan perkapalan sementara di jalan air strategik itu.

"Perbincangan kami dengan Oman pada masa ini tertumpu pada usaha memastikan laluan selamat bagi kapal-kapal di Selat Hormuz," kata Baqaei, menurut agensi berita separa rasmi Fars.

Kami sedang berusaha untuk mewujudkan laluan sementara, dengan kerjasama Oman, secepat mungkin, supaya kami dapat memastikan keselamatan perkapalan di Selat Hormuz," tambahnya.

Baqaei menolak laporan mengenai rundingan antara Tehran dan Washington, dengan berkata: "Kami tidak mengadakan rundingan dengan AS."

Pada Ahad, Presiden AS Donald Trump berkata perbincangan dengan Iran akan bermula petang Isnin, menyatakan keyakinan bahawa perjanjian mengenai Selat Hormuz dan penghapusan senjata nuklear (denuclearisation) Iran dapat dicapai tidak lama lagi.

Baqaei juga berkata keadaan di Selat Hormuz "tidak akan berubah selagi AS meneruskan tindakan pencerobohan dan sekatannya".

-- BERNAMA-ANADOLU