ATHENS, 3 Ogos (Bernama-dpa) -- Kebakaran hutan yang melanda kawasan di barat Athens masih belum dapat dikawal pada Isnin, ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di dua kawasan utama walaupun kelajuan angin semakin reda, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pasukan bomba menumpukan operasi pemadaman di kawasan berhampiran perkampungan Agios Nektarios yang terletak di puncak bukit serta di barat laut bandar Megara, yang mempunyai kira-kira 36,000 penduduk, menurut media Greece.
Walaupun angin semakin lemah sejak hujung minggu, operasi pemadaman kebakaran masih berbahaya dan risiko kebakaran hutan kekal pada tahap yang sangat tinggi, menurut pihak berkuasa perlindungan awam Greece.
Seorang juruterbang dan penyelaras operasi pemadaman maut pada Ahad apabila dua helikopter pemadam bertembung ketika menjalankan operasi berhampiran Athens. Pihak berkuasa telah melancarkan siasatan.
Tiga anggota bomba turut terkorban minggu lepas ketika memadamkan kebakaran di Crete dan Peloponnese.
Pegawai memaklumkan bahawa mereka merancang untuk memulakan penilaian terhadap rumah yang rosak akibat kebakaran secepat mungkin supaya penduduk yang terjejas dapat menerima bantuan kewangan.
Menurut laporan media Greece, ratusan rumah musnah di kawasan berhampiran Athens manakala kira-kira 10,000 hektar kawasan telah terbakar.
-- BERNAMA-dpa