Am 01/08/2026 06:25 PM

MICF Perkukuh Promosi Kraf Tempatan Ke Peringkat Antarabangsa

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MICF Perkukuh Promosi Kraf Tempatan Ke Peringkat Antarabangsa

KANGAR, 1 Ogos (Bernama) -- Malaysia International Craft Fair (MICF) buat julung kali akan dianjurkan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur dari 24 Sept hingga 5 Okt depan dalam usaha memperkukuh promosi produk kraf tempatan ke peringkat antarabangsa serta merancakkan pelancongan domestik.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata MICF berkenaan dijenamakan semula daripada Hari Kraf Kebangsaan dan ia juga bersempena perlumbaan Formula 1 (F1) untuk menarik kehadiran pelancong serta pengunjung antarabangsa.

Beliau berkata langkah itu merupakan sebahagian usaha meningkatkan imej industri kraf negara supaya lebih berdaya saing di peringkat global selain memperluas pasaran produk kraf tempatan.

"Ini antara program yang kita ingin ketengahkan dalam mempromosikan produk kraf tempatan. Kita harap mereka yang berkunjung ke F1 akan datang melawat program ini," katanya kepada pemberita selepas sesi Jelajah Mesra Festival Kraf Utara (FKU) 2026 di Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis di sini hari ini.

Penganjuran F1 Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 4 Okt.

Shaharuddin berkata MICF akan menghimpunkan produk kraf dari seluruh negara serta menjadi platform kepada usahawan kraf memasarkan hasil keluaran mereka kepada pengunjung tempatan dan luar negara.

Beliau berkata kru dan pengunjung untuk penganjuran F1 itu dijangka tiba di Malaysia kira-kira seminggu lebih awal sebelum perlumbaan berlangsung, sekali gus memberi peluang kepada Kraftangan Malaysia mempromosikan produk kraf tempatan kepada pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Shaharuddin berkata FKU 2026 yang berlangsung di Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis dari 23 Julai hingga 3 Ogos ini menghimpunkan 72 usahawan kraf melibatkan bidang tekstil, hasil tanah, hasil logam, hasil rimba dan aneka kraf.

“Festival ini turut menjadi platform padanan perniagaan antara usahawan kraf dengan pembeli termasuk syarikat pengeksport produk kraf, agensi kerajaan, syarikat perhotelan dan pusat beli-belah selain membabitkan penyertaan 29 Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak,” katanya.

-- BERNAMA