Am 01/08/2026 07:54 PM

Bumbung Runtuh Hempap Kereta Di Jalan Green Hall

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bumbung Runtuh Hempap Kereta Di Jalan Green Hall
Kredit : Gambar viral orang awam

GEORGE TOWN, 1 Ogos (Bernama) -- Sebahagian bumbung sebuah bangunan yang sedang menjalani kerja-kerja pembaikan di Jalan Green Hall di sini runtuh, sehingga menyebabkan sebuah kereta yang diletakkan di kawasan itu mengalami kerosakan akibat dihempap runtuhan tersebut.

Tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang cedera dilaporkan dalam kejadian itu dan semakan mendapati, kerja-kerja pembaikan bangunan tersebut telah mendapat kelulusan permit daripada Jabatan Konservasi Warisan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Datuk Bandar MBPP Datuk A. Rajendran berkata pihaknya telah mengarahkan arkitek yang mengendalikan projek itu, supaya mengambil tindakan segera susulan kejadian tersebut.

“MBPP telah mengarahkan arkitek projek mengambil tindakan segera dan beliau mengesahkan langkah-langkah yang perlu sedang dilaksanakan. Siasatan juga sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata pasukan penguat kuasa MBPP turut membantu memasang penghadang di kawasan kejadian, bagi memastikan keselamatan orang awam.

-- BERNAMA