KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang lelaki warga asing yang disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, di sebuah premis perniagaan di Sungai Buloh, Selangor.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima laporan daripada balai polis Kampung Baru Subang, berhubung kejadian pada Rabu lepas.
“Polis dalam usaha mengesan dan menahan suspek, kes diklasifikasi mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Hafiz berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian terbabit, diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Amirul Amin Shukor menerusi talian 013-669 5290 atau balai polis berhampiran.
Terdahulu tular di media sosial video memaparkan dua kanak-kanak perempuan dihampiri seorang lelaki di sebuah kedai barangan, sebelum lelaki terbabit dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang daripada kanak-kanak tersebut.
Tindakan lelaki terbabit menimbulkan kemarahan netizen dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku.
-- BERNAMA