Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
GLASGOW, 1 Ogos (Bernama) -- “Mungkin selepas ini saya boleh berehat selama seminggu dan meluangkan masa bersama keluarga.”
Demikian reaksi Amir Daniel Abdul Majeed selepas segala pengorbanannya dari segi masa dan rutin kehidupan sebagai pelajar akhirnya terbalas apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara judo sepanjang sejarah penyertaan negara di Sukan Komanwel.
Kejayaan menjuarai kategori bawah 81 kilogram (kg) pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu amat bermakna buat atlet berusia 21 tahun itu yang selama ini terpaksa membahagikan masa antara latihan, pengajian dan keluarga.
Anak jati Pulau Pinang itu berkata jadual hariannya yang padat menyebabkan masa bersama insan tersayang amat terhad, malah beliau jarang berpeluang meluangkan masa berbual dengan ibunya.
“Pingat ini untuk seluruh rakyat Malaysia. Ini pingat emas pertama judo Malaysia di Sukan Komanwel dan saya boleh katakan pingat ini sangat tinggi nilainya. Segala pengorbanan, darah, keringat dan air mata yang dicurahkan akhirnya membuahkan kejayaan terbaik.
“Pengorbanannya bukan sahaja dari segi masa dan kewangan, tetapi juga masa bersama keluarga. Setiap hari saya perlu menjalani latihan dan meneruskan pengajian. Tidak pernah ada masa untuk saya duduk dan bertanya kepada ibu bagaimana harinya,” kata penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) itu kepada Bernama.
Pada aksi final di Scottish Event Campus (SEC) hari ini, Amir Daniel menewaskan wakil Afrika Selatan, Timothy Meuwsen, menerusi waza-ari hasil teknik kata-guruma dalam pertarungan selama empat minit yang disaksikan ibunya Yeoh Suatkhim serta kakaknya Nur Yasmeen.
Kemenangan itu turut menyaksikan Amir Daniel yang menghuni ranking ke-117 dunia menewaskan Meuwsen yang berada di tangga ke-41 dunia untuk menghadiahkan pingat emas kelapan buat kontinjen negara.
Di sebalik kejayaan bersejarah itu, Amir Daniel terpaksa melalui proses pemulihan selepas mengalami koyakan ligamen kolateral medial (MCL) tahap dua pada awal tahun ini sehingga memerlukan beliau menjalani beberapa siri rawatan.
Bagaimanapun, kecederaan itu tidak menjadi penghalang dalam usahanya memburu kejayaan di Glasgow.
“Saya tidak menganggap kecederaan itu sebagai satu kemunduran, sebaliknya sesuatu yang perlu dipelajari dan diatasi,” katanya.
Selepas melakar sejarah di Glasgow, Amir Daniel kini mengalihkan tumpuan kepada sasaran lebih besar, iaitu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 serta memburu kedudukan podium.
Sebagai rekod, Amir Daniel sebelum ini mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat pertama Malaysia dalam acara judo di Sukan Komanwel menerusi pingat gangsa bagi kategori bawah 73kg pada edisi Birmingham 2022.
-- BERNAMA