Am 02/08/2026 02:55 AM

Cheng Hoe Puji Skuad Muda Harimau Malaya, Yakin Layak Ke Separuh Akhir Piala ASEAN

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Cheng Hoe Puji Skuad Muda Harimau Malaya, Yakin Layak Ke Separuh Akhir Piala ASEAN
Tan Cheng Hoe

BANGKOK, 2 Ogos (Bernama) -- Ketua Jurulatih sementara Malaysia Tan Cheng Hoe memuji skuad mudanya walaupun mereka tewas 2-0 kepada Thailand, dalam perlawanan Kumpulan B Piala ASEAN 2026 serta menyatakan keyakinan bahawa pengalaman tersebut akan membantu perkembangan mereka.

Tan berkata perlawanan itu telah memberikan pendedahan yang berharga untuk pasukan mudanya dan beliau kekal yakin mereka masih boleh menempah tempat ke separuh akhir.

“Saya rasa gembira untuk pemain-pemain muda ini kerana mereka mendapat pengalaman dan pendedahan daripada bermain menentang pasukan sebaik Thailand dan ia akan menyediakan mereka untuk perlawanan seterusnya.

“Sebagai jurulatih, saya masih percaya kepada pemain-pemain muda ini jika mereka diberikan peluang dan akan terus beraksi dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Kumpulan B di Stadium Rajamangala pada hari Sabtu.

Jurulatih kelahiran Kedah berusia 58 tahun itu berkata Malaysia masih mempunyai peluang penuh untuk mara ke peringkat kalah mati, dengan baki satu perlawanan kumpulan menentang Filipina pada 8 Ogos.

“Sudah tentu, sebagai jurulatih, saya masih percaya kita mempunyai peluang yang cerah untuk mara ke pusingan seterusnya. Harap-harap, kita akan meneruskan kemaraan kita dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Malaysia akan menamatkan kempen Kumpulan B mereka menentang Filipina di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Thailand Anthony Hudson meluahkan rasa bangga terhadap para pemainnya selepas persembahan mengagumkan, di hadapan penyokong tuan rumah.

Hudson menyifatkan Malaysia sebagai sebuah pasukan yang berbahaya dengan kelajuan di bahagian sayap dan pertahanan yang kukuh, sambil menyatakan bahawa pasukannya berhak memperoleh kemenangan itu selepas mempamerkan aksi yang berdisiplin.

“Para pemain bermain dengan sangat baik dan mengelakan gawang daripada dibolosi pada malam ini. Saya harap mereka dapat mengekalkan prestasi ini dalam perlawanan seterusnya,” katanya.

Kemenangan itu melonjakkan Thailand ke kedudukan teratas Kumpulan B Piala ASEAN 2026, melalui perbezaan gol dan walaupun terikat enam mata dengan Malaysia, Thailand berkelebihan kurang satu perlawanan. Myanmar dan Filipina pula terikat dengan tiga mata, manakala Laos kekal tanpa sebarang mata dan dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Thailand akan bertandang ke Clark, berhadapan Filipina pada hari Selasa, sebelum menentang Myanmar dalam perlawanan terakhir Kumpulan B mereka di Stadium Rajamangala pada 8 Ogos.

-- BERNAMA