SEPANG, 1 Ogos (Bernama) -- Kerinduan terhadap masakan ibu menjadi perkara pertama yang ingin dilunaskan jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan sebaik menjejakkan kaki ke tanah air selepas mengharumkan nama negara di Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Mohamad Aniq, penyumbang emas sulung negara di temasya berkenaan mengakui seleranya sudah lama mendambakan hidangan asli Malaysia selepas sekian lama menjalani latihan dan pertandingan di luar negara.
"Pertama sekali mesti masakan emak. Kedua, macam biasa kalau saya latihan di Turki, sarapan selalunya roti atau gaya Eropah. Jadi di sini mungkin dapat makan soto, mi goreng dan sebagainya. Dah lama rindu masakan itu," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Walaupun diberikan tempoh rehat selama seminggu di kampung halamannya di Johor, atlet berusia 24 tahun itu menegaskan rutin latihannya tidak akan terhenti demi persiapan ke Sukan Asia bulan depan.
"Nak cakap rehat itu, tak rehat jugalah sebab balik Johor nanti saya tetap akan jalani latihan untuk persiapan ke Sukan Asia pula," katanya.
Mengulas mengenai sasaran di Sukan Asia, Mohamad Aniq bertekad untuk memperbaiki rekod kebangsaan dan cuba memburu pingat meskipun menyedari bakal berdepan saingan sengit daripada atlet bertaraf Olimpik.
Beliau turut mendedahkan bahawa Sukan Asia kali ini merupakan penampilan terakhirnya bagi kategori 60 kilogram (kg) sebelum beralih ke kategori 65kg bagi memburu kelayakan ke Sukan Olimpik.
"Sukan Asia ini kali terakhir saya beraksi untuk kategori 60kg. Selepas itu saya akan beralih ke 65kg untuk layak ke Olimpik. Perancangan berat badan dan peningkatan angkatan itu sudah diatur lama dengan bantuan Institut Sukan Negara (ISN)," katanya.
Beliau amat menghargai sokongan program Road to Gold (RTG) yang mempercepat proses pemulihannya menerusi bantuan fisioterapi dan psikologi yang rapi.
"Program RTG banyak membantu saya. Rawatan lebih cepat dan pemulihan lebih lancar. Dengan sokongan ini, misi ke Olimpik Los Angeles (LA) bukan sesuatu yang mustahil," katanya.
Pada 26 Julai lepas, Mohamad Aniq menceriakan kem negara apabila menyumbang pingat emas pertama di Glasgow dengan jumlah angkatan keseluruhan 273kg, sekali gus memecahkan rekod temasya.
Kejayaan itu diraih hasil angkatan 121kg dalam acara snatch dan 152kg bagi clean & jerk.
-- BERNAMA