Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
GLASGOW, 1 Ogos (Bernama) -- Atlet judo negara Amir Daniel Abdul Majeed melakar sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam sukan judo di Sukan Komanwel selepas menjuarai acara bawah 81 kilogram (kg) lelaki pada edisi Glasgow 2026 di sini, hari ini.
Pada aksi final yang berlangsung di Scottish Event Campus (SEC), Amir Daniel menewaskan wakil Afrika Selatan, Timothy Meuwsen menerusi kemenangan waza-ari hasil teknik kata-guruma dalam pertarungan selama empat minit.
Kejayaan itu lebih bermakna apabila Amir Daniel, yang menghuni ranking ke-117 dunia, berjaya menewaskan Meuwsen yang berada di kedudukan ke-41 dunia, sekali gus memaksa lawannya berpuas hati dengan pingat perak.
Pingat emas itu turut menyaksikan anak kelahiran Pulau Pinang berusia 23 tahun berkenaan memperbaiki pencapaiannya di Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila meraih pingat gangsa dalam acara bawah 73kg.
Terdahulu, beliau mara ke pentas final selepas menewaskan wakil Australia, Keishin Ochi, menerusi yuko hasil teknik utsuri-goshi pada saingan separuh akhir.
Kejayaan bersejarah itu menjadikan Amir Daniel atlet judo Malaysia pertama meraih pingat emas di Sukan Komanwel, sekali gus mencipta penanda aras baharu bagi sukan judo negara.
Pingat emas berkenaan juga merupakan emas kelapan kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
-- BERNAMA