SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu telah mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Presiden UMNO itu berkata beliau telah menyampaikan watikah berkenaan ketika menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di sini malam ini.
"Saya serahkan ketiga-tiga nama itu atas budi bicara Tuanku untuk perkenan dan hak mutlak Tuanku untuk memilih seorang daripada mereka sebagai calon Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di sini.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, bagaimanapun tidak mendedahkan nama calon yang dipersembahkan dan memaklumkan bahawa sebarang keputusan mengenai perkara itu akan dikeluarkan oleh pihak istana.
"Alhamdulillah, tahniah semua calon BN. Saya dititahkan untuk menghadap malam ini dan istana akan mengeluarkan kenyataan secepat mungkin… dengan 25 kerusi ini, atas perkenan Tuanku, kerajaan BN dan Perikatan Nasional (PN) akan terbentuk sebagai kerajaan baharu untuk Negeri Sembilan," katanya.
Terdahulu, Tuanku Muhriz berkenan menerima menghadap Ahmad Zahid pada kira-kira 10 malam.
Sementara itu, Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pada sesi menghadap tersebut, beliau telah mempersembahkan hasil keputusan pilihan raya serta kesepakatan yang dicapai antara BN dan PN.
Beliau berkata BN menjunjung kasih atas perkenan Tuanku Muhriz dan akan melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta prinsip kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat di negeri berkenaan.
Ahmad Zahid berkata BN akan terus menjunjung tinggi, memelihara dan menghormati institusi diraja sebagai payung kedaulatan negeri, lambang perpaduan rakyat serta teras kepada sistem Raja Berperlembagaan.
"Semoga Allah SWT terus melimpahkan rahmat, kebijaksanaan dan inayah-Nya kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam memayungi Negeri Sembilan Darul Khusus serta seluruh rakyatnya. Daulat Tuanku," katanya.
-- BERNAMA