PHNOM PENH, 1 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Pihak berkuasa Kemboja menahan 16,498 individu atas kesalahan berkaitan dadah dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026, meningkat 10 peratus berbanding 14,977 tangkapan yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas, menurut laporan Jabatan Antidadah (ADP) yang dikeluarkan pada Sabtu, lapor Xinhua.
Daripada jumlah itu, 889 suspek ialah warga asing daripada 21 negara, termasuk 108 wanita.
"Pihak berkuasa merampas 2.51 tan dadah terlarang dan 105 kilogram ganja kering dari Januari hingga Julai 2026," menurut laporan itu.
Jumlah rampasan itu meningkat dengan ketara berbanding 1.91 tan dadah yang dirampas dalam tempoh sama tahun lepas.
Dadah yang dirampas kebanyakannya terdiri daripada ketamin, ekstasi, heroin, metamfetamin kristal, pil metamfetamin, kokain dan katinon.
Menurut laporan itu, operasi penguatkuasaan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini turut membawa kepada rampasan 54 pistol, 18 raifal, 119 kereta, 1,580 motosikal, 7,220 telefon, 665 alat penimbang serta sejumlah wang tunai.
Negara Asia Tenggara itu tidak mengenakan hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah. Bagaimanapun, mengikut undang-undang negara itu, individu yang disabitkan kesalahan mengedar lebih 80 gram dadah terlarang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
-- BERNAMA-XINHUA