Am 01/08/2026 10:44 PM

Lelaki Hilang Selepas Selamatkan Cucu Saudara Ditemukan Lemas

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lelaki Hilang Selepas Selamatkan Cucu Saudara Ditemukan Lemas
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki, Harun Ibrahim yang hilang selepas dihanyutkan arus sungai di Kampung Pulau Kudat.

KUALA BERANG, 1 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas menyelamatkan cucu saudaranya di Sungai Pulau Kudat di sini, ditemukan lemas petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Supt Sharudin Abdul Wahab berkata mayat Harun Ibrahim, 51, ditemukan anggota bomba sekitar 7.30 malam, kira-kira 100 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang pagi tadi.

"Operasi mencari dan menyelamat oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akhirnya berjaya menemukan mangsa di pesisir sungai.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut. Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika beriadah di kawasan rekreasi air memandangkan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10.15 pagi tadi, Harun yang merupakan pesara Pertubuhan Keselamatan Sosial dan menghidap penyakit buah pinggang, dilaporkan menyelamatkan cucu saudaranya berusia lapan tahun yang dihanyutkan arus ketika mandi di sungai itu.

-- BERNAMA