Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
GLASGOW, 1 Ogos (Bernama) -- Pemain boling padang nombor satu dunia Emma Firyana Saroji mengalami kekecewaan apabila gagal melayakkan diri ke final acara singles wanita pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Scottish Event Campus (SEC) di sini, malam ini (Sabtu).
Emma Firyana tewas 0-2 kepada wakil Guernsey, Ali Merrien pada aksi separuh akhir, namun masih berpeluang menghadiahkan pingat gangsa buat negara apabila dijadual menentang Shae Wilson dari Norfolk Island dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, esok.
Mengulas pertemuan dengan Merrien, beliau mengakui agak lambat memperoleh rentak pada set pertama selain gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan pendek lawannya.
“Pada set kedua, saya cuba bangkit, tetapi melakukan kesilapan sendiri pada satu end apabila bola saya tidak sampai sebelum tertolak bola lawan, sekali gus membolehkannya memperoleh empat mata. Perkara itu sepatutnya tidak berlaku.
“Saya tidak berasa tertekan kerana kami tahu sudah berada dalam saingan kalah mati. Mungkin pihak lawan beraksi lebih baik daripada saya hari ini,” kata atlet berusia 39 tahun itu kepada Bernama.
Sebagai rekod, Emma Firyana pernah memenangi emas acara pairs wanita pada edisi Gold Coast 2018 serta meraih pingat perak dalam acara fours wanita pada edisi Glasgow 2014.
Sementara itu, pasangan pairs lelaki Amirul Danial Abdul Rahim-Mohammad Soufi Rusli turut gagal mara ke final selepas tewas kepada gandingan England, Adam McKeown-Gary Kelly menerusi penentuan tie-break 0-1, selepas kedua-dua pasangan terikat 1-1.
Dalam acara para boling padang pula, pasangan pairs wanita B6-B8 Norazian Daud-Jariah Zakaria turut terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada wakil New Zealand, Julie O'Connell-Teri Blackbourn.
Setakat ini, skuad boling padang negara telah mengumpul dua pingat perak pada temasya kali ini, masing-masing menerusi acara singles lelaki dan pairs wanita.
-- BERNAMA