SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata beliau tidak pernah menyesal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi walaupun tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Beliau berkata keputusan rakyat itu diterima dengan hati yang terbuka dan reda, sambil menyifatkan kekalahan sebagai lumrah dalam politik.
“Saya dah katakan dari awal lagi… kalau saya bertanding di Sikamat pun, mungkin saya kalah... kalau saya bertanding di mana-mana pun, saya akan kalah... apa yang penting bagi saya bukannya kalah menang… saya tak pernah menyesal.
“Saya rasa syukur saya dapat didik sebahagian anak bangsa yang nak berfikir,” katanya dalam sidang media di Pusat Operasi PH di sini malam ini.
Aminuddin berkata sejak DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun lepas, keputusan muktamad telah diserahkan kepada rakyat untuk menilai prestasi pentadbiran beliau sebagai Menteri Besar berdasarkan “kad laporan” sepanjang tempoh lapan tahun menerajui kerajaan negeri.
Pengerusi PKR Negeri Sembilan itu berkata PH Negeri Sembilan akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif menerusi 11 kerusi dimenangi dengan memastikan semua wakil rakyatnya terus berkhidmat serta menyantuni rakyat selain berharap kerajaan baharu dapat meneruskan dasar dan inisiatif yang baik demi kepentingan negeri.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson tewas di DUN Linggi dalam saingan tiga penjuru berdepan penyandang kerusi berkenaan Datuk Mohd Faizal Ramli daripada Barisan Nasional (BN) dan Zamri Md Said daripada Bersatu.
Sebanyak 36 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN kali ini, melibatkan 103 calon.
Seramai 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos layak mengundi hari ini dengan peratusan keluar mengundi yang direkodkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya setakat 4 petang ialah 65.38 peratus atau 562,133 pengundi.
Pada edisi PRN Negeri Sembilan ke-15, PH memenangi 17 kerusi DUN diikuti BN (14) dan Perikatan Nasional (lima).
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA