Dunia 01/08/2026 07:53 PM

Kepimpinan FIFA Hilang Kepercayaan Komuniti Bola Sepak, Kata UEFA

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kepimpinan FIFA Hilang Kepercayaan Komuniti Bola Sepak, Kata UEFA
--REUTERS

ISTANBUL, 1 Ogos (Bernama-Anadolu) -- UEFA pada Sabtu menyatakan bahawa kepimpinan semasa FIFA telah kehilangan kepercayaan sebahagian besar komuniti bola sepak, sambil mengalu-alukan keputusan badan induk bola sepak dunia itu untuk menarik balik rancangan kontroversi menjual pegangan dalam kejohanannya, termasuk Piala Dunia FIFA, kepada pelabur swasta, lapor Anadolu Ajansi.

"Kepimpinan semasa FIFA bukan sahaja kehilangan kepercayaan UEFA, malah turut kehilangan keyakinan ramai lagi anggota keluarga bola sepak," menurut UEFA, badan induk bola sepak Eropah, dalam satu kenyataan.

UEFA menambah bahawa cadangan itu telah "ditolak sebulat suara" oleh persatuan anggotanya serta "banyak lagi persekutuan dan konfederasi pelbagai saiz di seluruh dunia."

UEFA turut merakamkan penghargaan kepada penyokong, liga, kelab, pemain, persatuan kebangsaan dan konfederasi, selain pemimpin politik serta pengulas, kerana menentang cadangan berkenaan.

"Bola sepak bukan untuk dijual," menurut kenyataan itu.

Organisasi itu mengkritik proses di sebalik cadangan berkenaan dengan menyatakan bahawa bola sepak "tidak boleh terus bergerak dengan rancangan sulit yang dipercepatkan, dirangka oleh individu tanpa identiti yang jelas serta manfaatnya kepada sukan itu masih diragui."

UEFA turut menyatakan bahawa Presiden FIFA Gianni Infantino gagal menunaikan komitmen yang dibuat ketika bertanding bagi jawatan itu pada 2016, termasuk janji untuk memastikan ketelusan dan menggunakan sumber kewangan FIFA bagi pembangunan bola sepak.

Badan induk bola sepak Eropah itu berkata pihaknya akan bekerjasama dengan persatuan anggotanya dan konfederasi lain untuk meneliti bagaimana cadangan itu timbul serta memastikan inisiatif serupa tidak berulang.

"Ini adalah kemenangan untuk seluruh sukan bola sepak. Namun, ia bukan penamat kepada isu ini.

"Cadangan itu telah ditarik balik. Tugas membina semula kepercayaan terhadap FIFA baru sahaja bermula," menurut UEFA.

-- BERNAMA-ANADOLU