KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Usahawan wanita di seluruh negara digalak memanfaatkan kursus yang disediakan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi menguasai kemahiran Kecerdasan Buatan (AI) dan strategi pemasaran digital, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata teknologi AI kini instrumen penting yang mampu memberi impak dan manfaat besar kepada usahawan tempatan dalam mempertingkat kecekapan perniagaan serta meluaskan pasaran mereka.
Teo berkata sehubungan itu, Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyediakan pelbagai latihan khusus berkaitan AI di bawah pusat NADI yang berhampiran dengan komuniti setempat.
"Kita bekerjasama dengan rakan strategik untuk menawarkan pelbagai kursus mengikut permintaan dan minat untuk kawasan tertentu.
“Justeru, saya ingin menggalakkan semua untuk ke NADI yang berhampiran dengan kawasan rumah anda untuk memahami jenis kursus yang telah disediakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Media and Charity Night 2026 anjuran Jawatankuasa Usahawan Wanita, Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC WEC) di Puncak Alop, Ampang di sini hari ini.
Beliau berkata modul yang ditawarkan di NADI tidak terhad kepada AI semata-mata sebaliknya merangkumi bidang keusahawanan digital (e-Usahawan), strategi pemasaran dan pelbagai ilmu perniagaan lain.
Teo juga berkata Kerajaan MADANI komited untuk terus menyokong dan memperkasakan penglibatan golongan hawa dalam sektor keusahawanan bagi membina masyarakat yang lebih saksama.
Beliau berkata usaha itu disokong oleh pelbagai inisiatif kerajaan termasuk menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang menyediakan bantuan dana khusus seperti Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) bernilai RM3 bilion.
Katanya langkah itu diharap mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan penyertaan wanita dalam ekonomi sekali gus memacu negara ke arah pembangunan lebih inklusif.
Mengulas mengenai program anjuran MCCC WEC, Teo berkata beliau hadir untuk memberi semangat kepada usahawan wanita kerana peningkatan penyertaan mereka dalam sektor perniagaan penting bagi pembangunan ekonomi negara.
Majlis itu menyaksikan pelantikan wakil ahli di 13 negeri bagi membentuk rangkaian usahawan wanita lebih kukuh selain pemeteraian enam Memorandum Persefahaman bersama dengan rakan strategik bagi memperkukuh pembangunan usahawan wanita termasuk transformasi digital, penggunaan AI dan latihan kemahiran.
-- BERNAMA