KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Pejawat awam perlu menghayati nilai sebenar yang dibawa bendera Malaysia dalam menjayakan aspirasi nasional "Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang" bersempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata ukuran patriotisme bukan hanya pada setinggi mana Jalur Gemilang dikibarkan tetapi sejauh mana nilainya dihayati melalui tindakan, keputusan dan khidmat bakti kepada rakyat.
“Jangan hanya mengibarkan bendera, kibarkan integriti, kibarkan amanah, kibarkan perpaduan dan kibarkan kecemerlangan perkhidmatan.
“Sebagai penjawat awam, marilah kita bekerja dengan lebih pantas, lebih berintegriti, lebih profesional dan lebih berjiwa rakyat. Jadikan kecintaan kepada negara sebagai sumber inspirasi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada setiap lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau bercakap pada Majlis Kibarkan Jalur Gemilang 2026: Kesejahteraan Dinikmati anjuran Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di UTM Hotel and Residence di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Aminuddin Hassim, Ketua Pengarah JAPEN Erwin Khairul Ahmad, dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.
Shamsul Azri turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menjayakan kempen berkenaan bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air dalam kalangan masyarakat.
“Biarlah sepanjang Bulan Kebangsaan ini, ke mana sahaja kita memandang Jalur Gemilang berkibar megah sebagai lambang bahawa rakyat Malaysia bersatu hati mempertahankan keamanan, kemakmuran dan masa depan negara,” katanya.
Beliau menegaskan Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain yang berkibar di tiang, sebaliknya lambang kedaulatan, maruah dan identiti sebuah negara yang merdeka.
"Apabila Jalur Gemilang berkibar megah, ia mengingatkan kita bahawa keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang kita nikmati hari ini tidak datang dengan mudah. Ia dibina atas keringat, pengorbanan, air mata dan darah para pejuang, anggota keselamatan, penjawat awam dan seluruh rakyat yang meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan diri," katanya.
Pada majlis itu, Shamsul Azri turut menyerahkan kit Jalur Gemilang kepada ketua-ketua setiausaha kementerian dan ketua-ketua perkhidmatan sebagai simbolik komitmen seluruh Perkhidmatan Awam dalam menjayakan pelaksanaan inisiatif “Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang”.
-- BERNAMA