Am 01/08/2026 05:48 PM

SPPP Komited Pastikan Manfaat Pembangunan Pelabuhan Dinikmati Semua

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SPPP Komited Pastikan Manfaat Pembangunan Pelabuhan Dinikmati Semua
--kredit PPC

GEORGE TOWN, 1 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) komited memastikan manfaat pembangunan pelabuhan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, khususnya golongan memerlukan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Pengerusinya Datuk Yeoh Soon Hin berkata sepanjang 70 tahun penubuhannya, SPPP bukan sahaja berperanan memajukan sektor pelabuhan, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan komuniti menerusi pelbagai inisiatif kebajikan.

“Hari ini, di bawah semangat MADANI, kita menegaskan komitmen untuk memastikan manfaat pembangunan pelabuhan sampai kepada semua lapisan masyarakat, terutamanya golongan yang memerlukan,” katanya.

Yeoh berkata demikian semasa berucap pada majlis minum petang sempena Sambutan 70 Tahun SPPP dan Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan Pelabuhan Pulau Pinang 2026 di sini hari ini.

Majlis dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.

Selain itu, beliau berkata penganjuran majlis itu juga memberikan peluang untuk meraikan anak yatim dan golongan yang memerlukan melalui penyerahan sumbangan oleh SPPP.

“Kehadiran mereka mengingatkan kita bahawa pembangunan dan kemakmuran perlu dikongsi bersama-sama. Saya menyeru semua untuk terus menyokong inisiatif seperti ini melalui sumbangan, khidmat sukarela dan program komuniti anjuran SPPP bersama-sama rakan strategik,” katanya.

Yeoh berkata tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” mencerminkan aspirasi negara untuk membina masyarakat yang maju, inklusif dan harmoni dengan menjadikan nilai keadilan, kebajikan serta kemanusiaan sebagai asas pembangunan.

Terdahulu, Yeoh menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil 10 syarikat pemain industri pelabuhan bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan.

Selain itu, sebanyak 185 penerima terdiri daripada anak yatim, orang kurang upaya (OKU) serta ibu tunggal daripada rumah kebajikan di seluruh Pulau Pinang menerima sumbangan yang disampaikan Tun Ramli dan isteri. 

-- BERNAMA