Am 01/08/2026 06:08 PM

KL Julang Gelaran Sulung Badminton B-18 Kebangsaan 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KL Julang Gelaran Sulung Badminton B-18 Kebangsaan 2026
Kredit : BAM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Kuala Lumpur menamatkan penantian 11 tahun untuk muncul juara buat kali pertama Kejohanan Badminton Kebangsaan Berpasukan Campuran Antara Negeri Bawah 18 Tahun (B-18)  2026 selepas menewaskan Kedah 4-2 pada aksi final di Dewan Persatuan Badminton Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Kejayaan bersejarah itu hadir hasil kebangkitan luar biasa dipamerkan skuad ibu negara yang bangkit selepas ketinggalan apabila tewas dalam kedua-dua acara perseorangan sebelum memenangi tiga perlawanan terakhir untuk mengesahkan gelaran sulung mereka.

Beregu campuran Kuala Lumpur, Tian Ci Yee-Weng Yan Lee, terlebih dahulu meletakkan pasukan di hadapan menerusi kemenangan 15-13, 15-11 ke atas Mohd Danish Haikal Mohd Noor-Nurin Zahirah Haizal.

Bagaimanapun, Kedah menyamakan kedudukan menerusi kemenangan Kieshen Sai Rao ke atas Cheng Yao Teh, 15-11, 15-9 dalam aksi perseorangan lelaki, sebelum Lee Han Ning meletakkan Kedah di hadapan hasil kemenangan 15-9, 15-6 ke atas Ng Yun Xi dalam aksi perseorangan wanita.

Detik kebangkitan Kuala Lumpur bermula apabila satu lagi perseorangan wanita, Ong Xin Ru menghadiahkan mata penting dengan menewaskan Lau Xin En, 15-11, 14-16, 15-13 dalam pertarungan sengit yang berlangsung hampir sejam. 

Semangat kebangkitan Kuala Lumpur diteruskan apabila Tian Hao Liew menewaskan Joshua Karunagaran, 15-11, 15-4, sebelum beregu lelaki Kai Xuan Liew-Wong Meng Fong melengkapkan kemenangan bersejarah itu dengan menewaskan gandingan Kedah, Kieshen Sai Rao-Mohd Danish Haikal Mohd Noor, 15-8, 14-16, 15-11.

Sementara itu, Selangor meraih pingat gangsa selepas menundukkan juara bertahan dua kali, Pulau Pinang, 4-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

-- BERNAMA