KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Olympia Education Malaysia dan World Islamic Economic Development (WIED) akan menganjurkan World Islamic Economic Week (WIEW) dari 19 hingga 25 April 2027 yang menjadi platform menghubungkan ilmu pengetahuan, industri, keusahawanan dan ekosistem ekonomi Islam yang lebih luas.
Pengerusi Olympia yang juga Pengerusi WIED Tan Sri Dr Yusoff Noor berkata WIEW 2027 bertujuan memudah cara perbincangan dan memperluas kerjasama berkaitan peluang ekonomi yang sedang berkembang serta pembangunan mampan.
“Inisiatif ini mencerminkan aspirasi Olympia untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi berasaskan ilmu, nilai, inovasi dan kemampanan selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan dan ekonomi Islam bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Olympia Strategic Collaboration & Community Impact Engagement 2026 yang dianjurkan sempena Sidang Kemuncak Kepimpinan Global W.I.S.H anjuran Olympia di sini.
Majlis itu turut menyaksikan prapelancaran WIEW 2027 serta beberapa inisiatif oleh Olympia dan WIED termasuk Sustainable Halal Economy Leadership Programme (SHELP), Kempen Amanah Tunai, Aset dan Pusaka Digital Rakyat (e-ATAP) dan Kuala Lumpur Education Centre (KLEC).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Olympia Datuk Seri Rani Osman berkata penganjuran WIEW 2027 akan diperkukuh menerusi kerjasama dengan pemain industri halal, institusi pengajian tinggi, Halal Development Corporation (HDC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), majlis agama Islam serta pelbagai agensi berkaitan.
-- BERNAMA