KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- “Saya tidak mampu menandinginya, apatah lagi menggantikan tempatnya.”
Demikian komen legenda berbasikal negara Josiah Ng mengenai bekas rakan sepelatihnya Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang menamatkan penantian bersejarah selama 16 tahun untuk memenangi pingat emas dalam acara keirin pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 awal pagi tadi.
Josiah yang menjadi saksi perjalanan karier Mohd Azizulhasni sepanjang 16 tahun yang penuh dengan penderitaan menggambarkan atlet berusia 38 tahun itu sebagai “legenda sepanjang zaman” yang memiliki kekuatan mental yang tiada tandingan dalam dunia sukan.
Bercakap kepada Bernama, Josiah mendedahkan sisi tersembunyi “The Pocket Rocketman” yang mungkin tidak dilihat ramai peminat, iaitu semangat persaingan yang tidak pernah mengenal erti putus asa dan ia terserlah walaupun dalam permainan santai seperti boling.
“Beliau mempunyai mentaliti paling kuat. Jika kami bermain boling atau apa sahaja permainan, beliau akan menduduki tempat terakhir. Kemudian saya akan mencabarnya dan mempertaruhkan wang. Saya akan berkata, ‘Baiklah, jika kamu menewaskan saya dalam permainan seterusnya, saya akan memberi kamu 20 euro’ kerana kami bersama-sama menjalani kem latihan di Eropah.
“… dan dalam permainan berikutnya, beliau akan menang. Mental Mohd Azizulhasni sangat kuat. Saya sentiasa kehilangan wang kepadanya setiap kali saya mencabarnya. Jadi, saya tidak lagi mencabarnya. Apa sahaja yang beliau tetapkan dalam fikirannya, beliau akan mencapainya,” kata Josiah.
Josiah ketika mengimbas kemenangan penuh emosi di Velodrom Sir Chris Hoy berkenaan mengakui kejayaan itu adalah detik yang melengkapkan perjalanan karier mereka berdua, bermula pada edisi New Delhi 2010 apabila kemenangan Mohd Azizulhasni dibatalkan selepas beliau melintasi garisan penamat di tempat pertama, sekali gus menyebabkan pingat emas itu terlepas daripada genggamannya.
“Saya turut mengalirkan air mata bersamanya. Ini adalah keputusan paling emosional dalam kerjayanya, malah lebih emosional berbanding Sukan Olimpik kerana terdapat lebih banyak penderitaan. Ini adalah penderitaan selama 16 tahun baginya. Saya berada di sana pada Sukan Komanwel pertamanya apabila kami melintasi garisan penamat di tempat pertama dan kedua. Kami sedang meraikannya, dan lima minit selepas itu, mereka menariknya daripada beliau.
“Hari ini, beliau seperti seorang adiwira. Tiada siapa pun yang mampu menghampiri roda belakang basikalnya. Beliau berada dalam kelas tersendiri. Apabila beliau menyedari apa yang telah dicapainya, beliau menangis seperti seorang kanak-kanak dan saya turut merasai emosi itu bersamanya. Saya sangat mengetahui bagaimana perasaannya ketika itu,” katanya.
Ketika ditanya sama ada pelumba muda Malaysia seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom mampu mencapai tahap yang sama seperti Mohd Azizulhasni, Josiah secara terus terang mengakui kedudukan unik legenda itu dalam sukan berkenaan.
“Mohd Azizulhasni ialah seorang pelumba yang hebat. Beliau memberi inspirasi kepada puluhan juta rakyat Malaysia dan juga pelumba antarabangsa. Saya tidak fikir sesiapa akan membandingkan diri mereka dengannya. Mustahil. Mustahil,” katanya.
Walaupun Azizulhasni mendedahkan bahawa Glasgow 2026 adalah Sukan Komanwel terakhirnya, Josiah yakin atlet veteran itu akan meneruskan “misi yang belum selesai” untuk memburu pingat emas Sukan Olimpik dengan berkata: “Saya percaya beliau akan ke Olimpik seterusnya, dan berdasarkan cara kayuhannya sekarang, saya percaya beliau mampu melakukannya.”
Sementara itu, jurulatih berbasikal para kebangsaan yang juga bekas pelumba negara Mohd Rizal Tisin turut menyuarakan nada sama dan menyifatkan keupayaan Azizulhasni mencatat keputusan bertaraf dunia pada usia 38 tahun sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Kami bangga sebagai rakyat Malaysia. Beliau memberikan contoh terbaik kepada atlet muda bahawa semangat perjuangan itu tidak kira umur. Perjuangannya sangat panjang, namun motivasi yang berterusan itulah yang membawanya ke tahap ini,” katanya.
Rizal ketika mengulas mengenai penantian 16 tahun sejak kekecewaan di New Delhi 2010 menyifatkan kemenangan itu sebagai satu “keajaiban” yang datang daripada kerja keras.
“Lama tau 16 tahun, empat edisi Sukan Komanwel baru beliau dapat balik emas itu. Ia sesuatu yang luar biasa. Walaupun Olimpik adalah sasaran utama, kejayaan di Komanwel ini adalah impian yang sangat diinginkan sebelum bersara,” jelasnya.
Dalam pada itu, penganalisis sukan Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan pingat emas itu sebagai pelengkap koleksi kerjaya Mohd Azizulhasni dan berpendapat kemenangan berkenaan sangat signifikan buat kontinjen negara meskipun saingan di peringkat Komanwel kali ini dilihat kurang mendapat tumpuan sebahagian pelumba utama dunia.
Pekan turut menjelaskan melahirkan seorang “permata” sukan seperti Mohd Azizulhasni memerlukan masa yang lama sambil membandingkan situasi sama dengan kesukaran negara mencari pengganti kepada legenda seperti Datuk Seri Lee Chong Wei (badminton) dan Datuk Nicol David (skuasy).
“Kita tidak akan dapat menemui permata sukan seperti ‘legenda-legenda’ sebelum ini dalam masa singkat. Ada kelebihan istimewa pada Mohd Azizulhasni yang tidak ada pada pelumba lain. Kita latih macam mana pun, belum tentu dapat yang berbakat sepertinya,” katanya.
Terdahulu, pada saingan final keirin, Mohd Azizulhasni yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020 di Tokyo mempamerkan tunggangan bertenaga untuk menewaskan pelumba Australia Leigh Hoffman dan wakil England Harry Ledingham-Horn yang masing-masing meraih perak serta gangsa.
Sebagai rekod, Mohd Azizulhasni yang membuat penampilan keempat pada Sukan Komanwel pernah merangkul pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan pada edisi 2010 di New Delhi dan keirin pada edisi 2014 di Glasgow.
Kejayaan itu turut menghadiahkan pingat emas ketujuh buat kontinjen Malaysia di Glasgow 2026, selain menjadi emas sulung skuad berbasikal trek negara pada temasya kali ini.
-- BERNAMA