KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Perjalanan tren komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Stesen Kuala Lumpur ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini bertukar menjadi pentas bergerak dengan persembahan yang menggabungkan bahasa, sastera, seni dan patriotisme menerusi Program Kembara Bahasa Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (KBHKHM) 2026.
Program anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu menampilkan pelbagai aktiviti didik hibur termasuk nyanyian lagu patriotik, deklamasi sajak, kuiz bahasa dan sejarah serta persembahan muzik.
Sebanyak 60 pelajar dari Sekolah Seri Puteri Cyberjaya dan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur bersama-sama penggiat seni mengambil bahagian dalam program yang mengangkat konsep “Kembara Bahasa di Atas Landasan” itu.
Pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, Qaseh Umairah Maswesi Ahmad, 16, yang anggun mengenakan busana songket, memuji penganjur program kembara itu kerana menampilkan pendekatan berbeza dalam memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu dan semangat cintakan negara.
Qaseh Umairah yang turut mengambil bahagian dalam deklamasi sajak berkata pelbagai aktiviti interaktif seperti kuiz kemerdekaan, nyanyian lagu patriotik dan persembahan dikir barat menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan.
“Memang seronok sebab kita bukan sahaja dapat naik tren KTM beramai-ramai malah dapat turut serta dalam pelbagai aktiviti didik hibur. Program seperti ini wajar disertai semua golongan bagi memastikan bahasa Melayu terus digunakan dan tidak dilupakan generasi akan datang,” katanya kepada Bernama di Stesen UKM Bangi.
Seorang lagi pelajar, Nur Mirza Amani Muhamad, 16, dari Sekolah Seri Puteri Cyberjaya berkata pendekatan santai yang diketengahkan membuka ruang kepada golongan muda untuk mengenali bahasa Melayu dari sudut lebih menarik, sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingannya dalam kehidupan seharian.
“Sesetengah generasi muda seperti saya kadang-kadang kurang yakin untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan betul kerana sejak kecil sudah biasa menggunakan bahasa Inggeris dalam keluarga. Program seperti ini menunjukkan bahasa Melayu sebenarnya mudah dan seronok untuk dipelajari,” katanya.
Suasana dalam gerabak itu turut dimeriahkan dengan persembahan “St. John's Alumni Pipe Band Malaysia” yang menampilkan enam pemuzik di bawah pimpinan Pipe Major Raja Muhammad Hizami Raja Kamarulzaman,
Raja Muhammad Hizami, 34, berkata kumpulan itu mempersembahkan lapan hingga 10 lagu sepanjang perjalanan, termasuk lagu patriotik “Keranamu Malaysia” dan karya Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, menggunakan gabungan alatan muzik tradisional Malaysia serta Scotland seperti “pipe” dan drum dalam persembahan mereka.
“Suasana dalam tren memang meriah kerana kita dapat lihat keunikan Malaysia melalui pelbagai persembahan seperti dikir barat, “buskers” dan kumpulan kami. Selain pelajar, penumpang lain pun turut seronok. Ada yang bersama-sama menyanyi dan mengibarkan Jalur Gemilang serta turut bertepuk tangan sepanjang persembahan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi Datuk Aminurrahim Mohamed berkata penganjuran program itu merupakan antara usaha kerajaan dalam mendekatkan bahasa kebangsaan kepada masyarakat serta menyemarakkan semangat patriotisme menjelang Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Beliau berkata usaha memartabatkan bahasa Melayu kini berdepan cabaran lebih besar berikutan pengaruh bahasa digital dan bahasa slanga, justeru pendekatan kreatif perlu terus diperkasakan.
“Kita harap ia dapat diteruskan setiap tahun serta menjadi satu program ikonik dalam sambutan program-program kebangsaan,” katanya.
Aminurrahim berkata pemilihan Stesen Keretapi Kuala Lumpur sebagai lokasi permulaan turut membawa nilai simbolik kerana stesen bersejarah itu telah menjadi sebahagian daripada pembangunan negara sejak lebih satu abad lepas.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Hazami Jahari berkata penglibatan generasi muda dalam program seperti itu penting untuk menyemai rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan sebagai asas identiti dan jati diri negara.
“Generasi muda sangat penting kerana mereka yang akan mewarisi negara ini dan menentukan masa depan negara kita. Cabaran kita adalah untuk memastikan mereka menguasai bahasa Melayu yang baik dan betul, terutama dalam era media sosial yang banyak mempengaruhi penggunaan bahasa rojak,” katanya.
Justeru, beliau berkata media perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan kandungan berkualiti yang menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul agar dapat menjadi teladan kepada generasi muda dalam penggunaan bahasa kebangsaan.
-- BERNAMA