Am 01/08/2026 03:32 PM

Sarawak Bakal Bangunkan 3,655 Hektar Tanah Diserah Persekutuan Di Bawah MA63

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sarawak Bakal Bangunkan 3,655 Hektar Tanah Diserah Persekutuan Di Bawah MA63
Premier Sarawak yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Betong dekat sini, hari ini.

BETONG, 1 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak telah merangka pelan pembangunan tapak Rajang Area Security Command (RASCOM) di Sibu yang diserahkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tapak membabitkan empat kawasan iaitu Nanga Tada, Nanga Jagau, Nanga Ngungun dan Nanga Sekuau dengan keluasan keseluruhan 3,655.60 hektar itu akan dibangunkan bagi penempatan, infrastruktur dan sektor pertanian.

"Sebab kita hendak membangunkan kawasan tersebut antaranya rumah panjang di kawasan tersebut sudah terlalu padat dan kemudahan prasarana juga kurang memuaskan. 

“Namun kita juga telah membina jalan baharu bagi menyokong pembangunan kawasan berkenaan, selain kita juga melihat dari sudut industri pertanian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Betong di sini hari ini. 

Beliau berkata pengurusan pembangunan tanah membabitkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta itu akan diselaraskan kementerian dan agensi berkaitan, termasuk di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MIRRDA), berdasarkan pelan tempatan yang telah disediakan kerajaan negeri.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju menyerahkan 3,655 hektar tanah strategik kepada Sarawak di bawah pelaksanaan MA63.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) turut mengeluarkan kenyataan semalam memaklumkan bahawa mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju melepaskan hak tersebut. 

“Sejak 2023, sebanyak 64 lot tanah milik Persekutuan turut diluluskan untuk diserahkan semula kepada kerajaan Sarawak,” menurut kenyataan itu. 

Abang Johari berkata penyerahan itu adalah hasil permohonan kerajaan negeri agar tanah Persekutuan yang tidak lagi digunakan atau tidak dibangunkan dapat diserahkan kepada Sarawak.

"Kita dah mendapat persetujuan melalui permintaan kita dan ia (tanah) pun telah diserahkan secara rasmi kepada kita,” katanya. 

-- BERNAMA