Oleh Amiril Muttaqien Meketar
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Penyertaan Harimau Malaya pada Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia dari 24 Sept hingga 3 Okt ini disifatkan sebagai pentas terbaik untuk memulihkan semula maruah bola sepak negara yang tercalar, susulan kemelut melanda sukan berkenaan sebelum ini.
Walaupun berdepan laluan sukar diundi dalam Kumpulan A Divisyen 1 bersama Indonesia, Singapura dan India, pemerhati bola sepak tempatan Zakaria Rahim berkata para pemain perlu menyahut cabaran itu dengan membawa satu tekad mengembalikan semula keyakinan penyokong terhadap Harimau Malaya.
Beliau berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga perlu menyenaraikan barisan sebenar dan terkuat Malaysia dalam usaha memberikan tentangan sengit pada edisi pertama kejohanan itu.
“Walaupun mereka (penyokong) kecewa dengan keadaan melanda FAM termasuk aspek kepimpinan dan sebagainya tetapi saya percaya jauh dalam sudut hati mereka mahu lihat kejayaan, terutama sekali menewaskan Indonesia.
“Kejayaan itu akan memberikan ruang yang luas untuk peminat kembali menyokong bola sepak Malaysia. Ia bukan soal berjaya atau tidak tetapi maruah bola sepak negara perlu dikembalikan melalui kejohanan ini,” katanya kepada Bernama.
Sebelum ini, Malaysia dikenakan hukuman berat oleh FIFA berikutan isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan yang tidak sah, iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Ia menyaksikan FIFA membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin dengan memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada pasukan lawan.
Situasi menjadi semakin parah apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengambil tindakan serupa terhadap dua perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 ketika menentang Vietnam dan Nepal yang turut menggunakan khidmat pemain berkenaan.
Keputusan AFC yang mengisytiharkan Malaysia kalah 0-3 dalam perlawanan itu bukan sahaja merentap mata ranking negara, malah mengesahkan kegagalan Harimau Malaya untuk melayakkan diri pada saingan Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Pada Januari, semua ahli Exco FAM bagi penggal 2025-2029 mengumumkan peletakan jawatan secara beramai-ramai atas dasar kolektif dan sukarela.
Keputusan itu dibuat secara sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi tanpa kepentingan atau kedudukan peribadi, selain dilihat sebagai langkah berhemah dan berprinsip susulan situasi semasa yang mendapat perhatian umum berhubung isu pemain warisan serta bagi menjaga integriti FAM.
Dalam pada itu, Zakaria berkata penganjuran Piala ASEAN FIFA 2026 hadir pada waktu yang cukup signifikan apabila berlangsung sejurus selepas pembentukan barisan kepimpinan baharu FAM menerusi kongres dijadual 17 Sept, sekali gus memberikan peluang kepada badan induk itu memulakan lembaran baharu.
Beliau berkata tanggungjawab mengembalikan kegemilangan Harimau Malaya bukan sahaja terletak pada bahu pemain dan jurulatih, malah kepimpinan baharu FAM turut memikul amanah besar untuk menentukan hala tuju bola sepak negara.
Sementara itu, jurulatih berpengalaman Irfan Bakti Abu Salim pula berkata ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe memiliki pilihan lebih luas dalam menilai pemain yang mampu menyarung jersi Harimau Malaya, sekiranya masih mengemudi skuad kebangsaan pada Piala ASEAN FIFA 2026.
Irfan Bakti berkata kempen Liga Malaysia 2026/2027 yang bermula 21 Ogos depan membuka peluang buat Cheng Hoe untuk memilih barisan terbaik memandangkan pemain juga sudah kembali cergas beraksi bersama kelab masing-masing.
Kumpulan B Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 pula dianggotai Vietnam, Pakistan, Thailand dan Filipina.
Juara setiap kumpulan akan terus layak ke perlawanan akhir bagi merebut hadiah lumayan berjumlah USD1 juta (RM4.09 juta), manakala naib juara kumpulan bakal beraksi untuk penentuan tempat ketiga.
-- BERNAMA